mutakhir

Semoga rohnya dicucuri rahmat

Oleh Syazwan Msar

JENAZAH bapa kepada Pengerusi Media Prima Bhd (MPB) Tan Sri Ismee Ismail iaitu Ismail Awang selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Bukit Kiara, Petaling Jaya, 12.45 tengah hari tadi.

Jenazah Allahyarham sebelum itu disolatkan di Masjid Kampung Tunku.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad, Datuk Abdul Jalil Hamid.

Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa ke kediamannya di Kampung Tunku, Petaling Jaya.

Antara tetamu yang hadir melawat jenazah Allahyarham di rumahnya adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sri Zahid Hamidi; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Menteri Besar Selangor Datuk Sri Mohamed Azmin Ali.

Ismee berkata, Allahyarham adalah seorang individu yang mementingkan ikatan kekeluargaan yang utuh dan erat dalam membentuk keperibadian baik terhadap anaknya.

"Arwah seorang yang tegas terhadap anak-anak selain sering menasihati supaya setiap perkara yang dilakukan perlulah secara terperinci dan konsisten demi mencapai kejayaan.

"Kehilangannya sungguh terasa, walaupun arwah cukup garang sehingga adik beradik semua takut namun sifatnya itu membentuk kami sehingga berjaya dalam bidang masing-masing," katanya, ketika ditemui di Petaling Jaya.

Tokoh korporat Bumiputra itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 82 tahun di Hospital Sungai Buloh, Selangor, 7.53 malam semalam akibat serangan jantung selepas 29 hari koma.

Allahyarham meninggalkan isteri Zabedah Abdullah, 70, empat anak dan 15 cucu serta seorang cicit.

Berita berkaitan:

Bapa Pengerusi Media Prima meninggal dunia

Disiarkan pada: November 9, 2017 @ 6:37pm
d