mutakhir

Padah ugut dengan pedang

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

JURUELEKTRIK dijatuhkan hukuman penjara selama tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini terhadap dua pertuduhan memiliki pedang dan melakukan ugutan jenayah hendak mendatangkan kecederaan kepada seorang lelaki, Febuari lalu.

Hakim Nazri Ismail menjatuhkan hukuman itu kepada tertuduh, Mohammad Hafiz Mohd Sani, 22, yang disabitkan bersalah di akhir kes.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki yang bekerja di istana itu didakwa memiliki pedang sepanjang 106 sentimeter tanpa kebenaran yang sah daripada pihak berkuasa di hadapan rumah di Panji, Kota Bharu, 8.35 malam, pada 7 Febuari 2017.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kecederaan kepada Mat Ludin Muhammad, 68, dengan menggunakan pedang di lokasi yang sama, 6.30 petang, pada 7 Febuari 2017.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh di penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tertuduh diwakili peguam bela, Ahmad Nizam Mohd dan Firdaus Mohd Yusoff yang memohon hukuman ringan kepada lelaki itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Norazlinawati Mohd Arshad memohon hukuman setimpal kepada tertuduh untuk memberi pengaran dan membabitkan kepentingan awam.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun bagi pertuduhan pertama dan tiga tahun pertuduhan kedua. Hukuman itu berjalan serentak dari tarikh jatuh hukum hari ini.

Disiarkan pada: November 9, 2017 @ 7:20pm
d