mutakhir

Ajal motosikal bergesel

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

KOPERAL polis maut selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan motosikal lain sebelum terjatuh di Kilometer 6 Jalan Kota Bharu ke Pengkalan Kubor berhampiran Balai Polis Wakaf Bharu, Tumpat, petang tadi.

Dalam kejadian 2.25 petang, Koperal Fakri Mat Adam, 53, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Mayat dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat.

Seorang lagi penunggang motosikal berusia 19 tahun yang cedera di kepala dan badan dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, (HRPZ II) Kota Bharu untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Tumpat Superintendan Nik Azlan Nik Ibrahim berkata, mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Kedemit, Wakaf Bharu, dengan menunggang Yamaha LC.

Katanya, apabila tiba lokasi kejadian, motosikal mangsa bergesel dengan Yamaha Lagenda dari arah sama sebelum mereka terjatuh di atas jalan raya.

"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan calar di tangan kiri serta kanan.

"Manakala remaja terbabit mengalami kecederaan di kepala dan calar di badan kini sedang di rawat di Unit Kecemasan HRPZ II Kota Bharu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tumpat, di sini, hari ini.

Menurutnya, arwah meninggalkan seorang isteri dan lima anak dan jenazah akan dihantar ke Kuala Krai untuk dikebumikan di sana.

"Arwah sudah 30 tahun berkhidmat dalam pasukan polis dan ditukarkan ke Balai Polis Wakaf Bharu awal 2016 lalu.

"Dia seorang anggota yang komited dan berdedikasi dalam melaksanakan tugasan. Kehilangan mangsa adalah satu kehilangan besar kepada pasukan polis terutamanya bagi Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat," katanya.

Disiarkan pada: November 9, 2017 @ 8:58pm
d