mutakhir

CEO kantoi dadah di Dubai

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SEORANG Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat telekomunikasi tempatan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) kerana kesalahan memiliki dadah, September lalu.

Menurut sumber, individu itu bagaimanapun sudah dihantar pulang ke Kuala Lumpur Selasa lalu selepas selesai menjalani hukuman di negara berkenaan.

"Individu terbabit menjalani hukuman di Penjara Pusat Al-Aweer.

"Dia ditahan pihak berkuasa UAE pada 18 September lalu sebaik tiba dengan penerbangan dari Amsterdam, Belanda," katanya.

Sumber berkata, pemeriksaan dilakukan pihak berkuasa pada bagasinya menemui sejumlah dadah.

"Dia kemudian ditahan selama dua minggu di Pusat Tahanan Lapangan Terbang untuk siasatan lanjut.

"Selepas dua minggu, CEO berkenaan dipindahkan ke Penjara Pusat Al-Aweer, Dubai untuk menjalani hukuman," katanya.

Katanya, dia kemudian dibebaskan sebelum dihantar pulang ke Malaysia Selasa lalu.

Disiarkan pada: November 9, 2017 @ 9:40pm
d