mutakhir

Contohi automotif China

Oleh Mohd Nasif Badruddin

Serdang: Industri automotif Malaysia harus melihat secara proaktif perkembangan terbaru kerjasama strategik DRB-HICOM Berhad (DRB) dan Kumpulan Zheijang Geely Holding (Geely Holding) dalam pemilikan PROTON Holdings Berhad (PROTON).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama strategik dengan syarikat antarabangsa mampu membantu meningkatkan pemasaran kereta nasional ke peringkat antarabangsa.

Katanya, pemain utama automotif negara harus belajar bagaimana industri automotif China menjadi pengeluar automotif yang pantas berkembang di seluruh dunia sehingga menjadi antara lima pengeluar utama kenderaan dunia.

Menurutnya, beliau meneliti perkembangan pesat industri automotif sesebuah negara seperti China kerana beberapa faktor penting antaranya perkongsian dengan pembuat automotif seperti Volkswagen, GM, Toyota, Honda dan Kia dari segi kerjasama teknologi yang membolehkan mereka mempelajari dan menguasai teknologi itu.

“Kedua ialah mereka mementingkan akses pasaran bagi memastikan kereta dikeluarkan boleh dipasarkan ke seluruh dunia.

“Ketiga ialah pembentukan pakej rangsangan fiskal bagi merangsang permintaan tempatan untuk kenderaan walaupun ekonomi dunia tidak menentu.

“Keempat ialah dasar perindustrian automotif yang menggalakkan industri automotif untuk bergabung dan menyusun semula struktur organisasi,” katanya ketika berucap merasmikan Malaysia Autoshow 2017 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Ahmad Maslan, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategi dan Pemantauan) MITI, Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Datuk Madani Sahari.

Pameran kali ketiga anjuran MAI selama empat hari mulai hari ini mempamerkan pelbagai jenama kereta tempatan dan antarabangsa serta menyasarkan kehadiran 250,000 pengunjung.

Disiarkan pada: November 10, 2017 @ 6:56am
d