mutakhir

Dua sungai paras waspada

Oleh Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Sungai Galas, Kuala Krai dan Sungai Golok, di sini, kini berada pada paras berjaga-jaga berikutan hujan lebat sejak minggu lalu.

Berdasarkan portal infobanjir.water.gov.my, setakat jam 7 pagi semalam, Sungai Galas merekodkan peningkatan hingga 32.39 meter berbanding paras normal 28 meter.

Sungai Golok pula mencatatkan peningkatan hingga 7.31 meter berbanding lima meter sebelum ini.

Beberapa sungai lain termasuk Sungai Lebir, Kuala Krai, Sungai Semerak, Pasir Puteh dan Sungai Kelantan di Air Mulih, Pasir Mas masih berada pada paras normal.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang Penolong Penguasa Bomba Mohd Adni Ibrahim berkata, susulan peningkatan paras Sungai Golok, pihaknya akan lebih berwaspada selain meningkatkan pemantauan sekitar kawasan itu.

“Seramai 28 anggota bomba siap-sedia membantu masyarakat bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku jika banjir melanda.

“Sekarang, penduduk di kawasan rendah perlu peka dengan membuat persedian awal termasuk menyimpan dan menyelamatkan dokumen penting serta harta benda ke tempat yang selamat walaupun keadaan terkawal,” katanya.

Disiarkan pada: November 10, 2017 @ 9:05am
d