mutakhir

Koperal maut motosikal bergesel

Oleh HM Digital

Tumpat: Seorang koperal maut selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan motosikal lain sebelum terjatuh di Kilometer 6 Jalan Kota Bharu ke Pengkalan Kubor, berhampiran Balai Polis Wakaf Bharu di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.25 petang, mangsa, Koperal Fakri Mat Adam, 53, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Mayat dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat dan dikebumikan di Kuala Krai.

Seorang lagi penunggang motosikal berusia 19 tahun yang cedera di kepala dan badan dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, (HRPZ II) Kota Bharu untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Tumpat Superintendan Nik Azlan Nik Ibrahim berkata, sebelum kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Kedemit, Wakaf Bharu dengan menunggang motosikal Yamaha LC.

Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa bergesel dengan motosikal Yamaha Lagenda dari arah sama sebelum mereka terjatuh di atas jalan raya.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan calar di tangan kiri serta kanan.

“Remaja terbabit kini dirawat di Unit Kecemasan HRPZ II Kota Bharu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya di Unit Forensik Hospital Tumpat, di sini, semalam.

Menurutnya, arwah meninggalkan seorang isteri dan lima anak yang kini tinggal di Kuala Krai.

“Arwah 30 tahun berkhidmat dalam pasukan polis dan ditukarkan ke Balai Polis Wakaf Bharu awal 2016 lalu.

“Dia anggota yang berdedikasi dalam melaksanakan tugas. Ini kehilangan besar buat pasukan polis terutama bagi Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat,” katanya.

Disiarkan pada: November 10, 2017 @ 9:46am
d