mutakhir

Ah Chong pintas kad kredit

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Curi sampul surat berisi cek atau kad kredit yang diletakkan di dalam peti surat pemilik kediaman pangsapuri sekitar Lembah Klang.

Itu antara modus operandi Geng Ah Chong bagi melakukan pintasan kad kredit dan cek milik mangsa dengan mengubah suai jumlah wang dan identiti penerima.

Suspek kemudian akan menggunakan kad kredit atau cek itu untuk membeli barangan dalam talian menyebabkan pemilik sebenar mengalami kerugian.

Bagaimanapun taktik itu terbongkar selepas polis berjaya melumpuhkan kegiatan sindiket itu susulan penahanan lima individu termasuk seorang wanita di sebuah kondominium di Jalan Ampang di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim berkata, kelima-lima suspek terbabit berusia 30 hingga 40 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields kira-kira jam 7 malam.

“Dalam serbuan itu, kami turut menahan ketua kumpulan geng itu dikenali sebagai Ah Chong berusia 39 tahun. Semakan rekod mendapati, suspek dikehendaki polis selepas melarikan diri daripada sekatan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) di Terengganu kerana jenayah penipuan dilakukannya.

“Polis turut merampas kad kredit, cek, kad pengenalan palsu, kad ATM, buku cek dan kotak mengandungi peralatan untuk mengubah suai cek dan kad kredit dalam serbuan itu,” katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Cheras di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini, semalam.

Mazlan berkata, modus operandi sindiket itu adalah mengambil sampul surat mengandungi kad kredit dan cek yang dihantar melalui pos di dalam pesti surat sekitar Lembah Klang.

“Mereka akan memalsukan cek dan kad kredit untuk membuat pembelian barangan secara dalam talian,” katanya.

Disiarkan pada: November 10, 2017 @ 11:41am
d