mutakhir

'Keyboard warrior' didenda RM2,000

Oleh Alias Abd Rani dan Abnor Hamizam Abd Manap

PEMILIK akaun Facebook N9RTER, Muhammad Naim Zelkifle, 21, didenda RM2,000 selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret Bahau, hari ini kerana menuduh polis meminta wang daripada orang ramai, 6 September lalu.

Tertuduh melakukan kesalahan itu dengan memuat naik satu kenyataan “€˜Roadblock polis selepas bhp baru Mahsan, check saman lampau hati2 kalau boleh lalu tompek lain lah yo, dah saman org mkn duit paw lg tak patut betul” di laman Facebook.

Dia yang memakai baju kemeja dan bersongkok, tiba di mahkamah diiringi ahli keluarga pada 8.40 pagi.

Dalam perbicaraan itu, tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Tertuduh bagaimanapun merayu hukuman diringankan disebabkan menjaga ibu bapa selain adik beradik dan berjanji tidak mengulangi kesalahan itu lagi.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Wan Ahmad Hijrah kemudian meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan tidak mengulangi kesalahannya itu.

Majistret, Mohamad Redza Azhar Rezali kemudian memerintahkannya Muhammad Naim membayar denda.

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh dipenjara enam bulan penjara jika gagal membayarnya.

Bagaimanapun, Muhammad Naim membayar denda berkenaan.

Disiarkan pada: November 10, 2017 @ 12:01pm
d