mutakhir

Dituduh pecah amanah firma guaman sendiri [METROTV]

Oleh Mohd Hilmie Hussin

BEKAS peguam berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka, hari ini, atas tuduhan pecah amanah terhadap firma guaman sendiri membabitkan nilai RM47,431.79, lapan tahun lalu.

Tertuduh, Tuah Atan, 57, dari Seremban, Negeri Sembilan, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan, dia yang ketika itu peguam di firma guaman Tetuan Tuah, Hilmy dan Hazudin, didakwa tidak menyerahkan wang yang diamanahkan RM47,431.79 kepada dua individu dan dengan curangnya menggunakan wang itu bagi kegunaan sendiri.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di bank CIMB Melaka Raya, Off Jalan Parameswara, pada 20 September 2009.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi mencadangkan kepada mahkamah tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh namun mencadangkan RM60,000 sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara serta menetapkan beberapa syarat tambahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dibenarkan jamin dengan jaminan rendah atas alasan mengalami kecacatan fizikal sejak lahir dan sukar mendapat pekerjaan, malah menganggur lebih lapan tahun.

Menurutnya, dia meneruskan kehidupan dengan mengharapkan ihsan orang sekeliling dan tidak menerima bantuan kebajikan termasuk dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, hakim menawarkan tertuduh jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh melaporkan diri di Balai Polis Senawang, Negeri Sembilan pada Sabtu minggu pertama setiap bulan hingga kes itu selesai.

Meor Sulaiman kemudian menetapkan 12 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula.

Disiarkan pada: November 10, 2017 @ 4:21pm
d