mutakhir

Apa masalah si Marmi ni?

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

PENGANGGUR, Marmi Zabrin Mian dijatuhi hukuman penjara penjara 12 bulan dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini, atas kesalahan menyebabkan kecederaan dan melakukan serangan jenayah terhadap seorang wanita, 6 November lalu.

Ini adalah kali kedua dia dipenjara atas kesalahan sama.

Pada 15 September 2016, dia pernah dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret atas pertuduhan menendang wanita tanpa sebab di sebuah terowong di ibu negara sehingga menjadi viral.

Pada prosiding hari ini, Majistret Rahni Kartini Abd Rahim menjatuhkan hukuman terhadap Marmi Zabrin, 34, selepas dia mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan.

Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara maksimum 12 bulan dan denda RM1,500 dan sekiranya gagal menjelaskan bayaran, dia berdepan hukuman penjara tiga bulan.

Sementara itu bagi pertuduhan kedua, dia dihukum penjara tiga bulan bagaimanapun mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak dari tarikh tangkap pada 8 November lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas juru analisa Bank Negara Malaysia (BNM), Or Su Lin, 34, di jejantas Jalan Raja Laut, pada 1.30 tengah hari, 6 November lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan serangan jenayah ke atas mangsa di tempat dan masa sama dan didakwa mengikut Seksyen 351 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah memberikan hukuman penjara atau denda yang minimum kerana dia menanggung ibunya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zikri Jaafar memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal dan memberi pengajaran kepada tertuduh dengan mengambil kira mangsa adalah wanita selain kes ini membabitkan kes berulang.

"Tertuduh juga mempunyai modus operandi yang sama serta mangsa adalah wanita yang tidak melakukan sebarang provokasi selain kes berlaku di tempat awam serta mendapatkan liputan meluas," katanya.

Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian pengadu berjalan dari pintu keluar BNM menuju ke Jalan Raja Laut melalui jejantas.

Tiba-tiba, seorang lelaki datang dari belakangnya dan terus menendangnya menyebabkan pengadu jatuh terduduk di tangga jejantas itu.

Selepas menendang mangsa, lelaki itu terus berjalan pantas ke arah bangunan lain.

Akibatnya, pengadu mengalami kecederaan di belakang badan dan punggung.

Berita berkaitan

Lelaki tendang wanita dipenjara tiga bulan

Disiarkan pada: November 10, 2017 @ 5:25pm
d