mutakhir

Sukarelawan RELA bukan pegawai

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

JABATAN Sukarelawan Malaysia (RELA) mengesahkan lelaki yang ditahan dalam cubaan menyeludup keluar 700 kilogram (kg) daun ketum ke negara jiran, semalam bukan pegawai RELA sebaliknya ahli sukarelawan RELA.

RELA dalam kenyataannya hari ini berkata, semakan terhadap lelaki berusia 22 tahun itu mendapati beliau adalah seorang ahli sukarelawan RELA.

Menurutnya, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota RELA yang terbabit dengan kegiatan jenayah.

"Jabatan ini memandang serius terhadap pembabitan lelaki berkenaan dengan kes tersebut dan sudah mengambil tindakan memecat keahlian anggota tersebut dengan serta-merta.

"Lelaki itu sudah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Nerang untuk siasatan lanjut. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Lelaki itu ditahan bersama kenderaan pacuan empat roda yang sarat dengan muatan daun ketum segar ketika menggunakan laluan kebun getah menuju sempadan Malaysia-Thailand jam 2.45 pagi.

Disiarkan pada: November 10, 2017 @ 8:41pm
d