mutakhir

Giant hulur bantuan mangsa banjir

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Rangkaian pasar raya terkenal, Giant Malaysia (Giant) tampil menghulurkan pelbagai bantuan bagi meringankan beban lebih 2,000 mangsa banjir di Pulau Pinang dan Kedah.

Operator rangkaian Giant, GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, dalam kenyataannya berkata, pihaknya menyertai misi bantuan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk mengedarkan bekalan makanan, makanan bayi, tilam serta produk penjagaan kebersihan diri kepada mangsa banjir di dua negeri berkenaan.

Katanya, ia membabitkan lima cawangan iaitu Giant (hypermarket) Seberang Prai, Bayan Baru, Kulim, Alor Setar serta Sungai Petani dan semua barangan dikumpulkan di Pejabat Daerah Seberang Prai.

“Bantuan ini adalah komitmen kami bagi membantu masyarakat khususnya mangsa banjir di pusat pemindahan di Pulau Pinang, Kedah dan Perak.

“Selain itu, Pusat Pengedaran GCH Retail di Sepang juga diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk menghantar dan menyediakan bantuan kepada mangsa banjir di kawasan utara,” katanya.

Disiarkan pada: November 11, 2017 @ 7:43am
d