mutakhir

Tak putus cari ilmu

Oleh Siti Salmiah A Hamid

Kuala Lumpur: Meskipun sudah memiliki pengalaman sebagai pendidik selama 10 tahun, ia tidak mematahkan semangat Nurnabila Shahbuddin, 26, dari Sekolah Rendah Agama (SRA) Ar Rahah, Kerinchi, untuk menggenggam segulung ijazah.

Menurut Nurnabila, ilmu tidak mempunyai sempadan untuk terus diterokai dan ia menjadi pendukung kuat baginya yang ketika ini mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) (Pendidikan Islam).

“Pengajian ini memberi saya peluang untuk menambah baik mutu pengajaran dan pembelajaran dalam bidang yang sama serta meningkatkan tahap pendidikan yang saya peroleh.

“Kursus berkenaan mungkin mengambil masa yang panjang sedikit kerana ditawarkan secara separuh masa dan hanya dua kali sebulan untuk ke kelas. Selebihnya pelajar dan pensyarah banyak berinteraksi menerusi e-Pembelajaran,” katanya pada Majlis NLP Kecemerlangan Guru dan Majlis Perasmian Kemasukan Pelajar Baru ISMP (Pendidikan Islam) Dengan Kepujian Kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di sini, semalam.

Katanya, program ISMP (Pendidikan Islam) dianggap sangat baik dan berjaya meningkatkan pengetahuannya sebagai guru menerusi teknik dan kaedah pembelajaran.

“Paling menarik apabila kita tidak perlu berasa ragu-ragu untuk bertanya kepada pensyarah kerana mereka adalah pemudah cara terbaik bagi saya.

“Untuk belajar tidak perlu berasa malu, yang penting kita tingkatkan usaha ke arah kejayaan,” katanya yang juga antara pelajar pengambilan pertama kursus ini.

Bersetuju dengan rakan sekelasnya, Tengku Mohd Khaidir Tengku Zahari, 26, menganggap tugas sebagai pendidik tidak pernah terhenti walaupun mereka masih menimba ilmu.

“Sejak dulu lagi saya menunggu peluang untuk meneruskan pengajian ke jurusan lebih tinggi malah galakan keluarga membuatkan saya lebih bersemangat untuk mengikuti pengajian ini.

“Ilmu yang ditimba hari ini memberi laluan untuk saya melonjak ke satu aras dan ia perlu disusuli dengan perancangan yang efektif,” kata guru dari SRA Al Muttaqim, Taman Wangsa Melawati.

Naib Canselor UniSZA Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi A Latif berkata, perjanjian persefahaman (MoU) yang termeterai antara UniSZA dengan JAWI pada 14 Jun 2016, memberi peluang kepada guru SRA JAWI untuk memiliki ijazah pertama.

“Pengajian ditawarkan secara separuh masa agar tidak mengganggu masa mereka yang turut bertanggungjawab mendidik pelajar di SRA masing-masing.

“Mereka akan menjalani kelas di Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya (UMCCeD), Pantai Dalam, memandangkan semua guru bertugas di Lembah Klang selain mengikuti pengajian secara dalam talian,” katanya.

Disiarkan pada: November 11, 2017 @ 7:44am
d