mutakhir

Dua kali curi

Oleh Razik Zayad

Kota Kinabalu: Tidak berpuas hati dengan hasil curi, dua sekawan sekali lagi memecah masuk rumah sama dan melarikan kereta sebelum diberkas polis di Kampung Muhibbah, Likas di sini, Selasa lalu.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, kedua-dua suspek berusia 24 dan 28 tahun ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu selepas menyerbu rumah tidak bernombor di kampung berkenaan.

Difahamkan, kedua-dua suspek memecah masuk rumah sewa dan melarikan beberapa barangan peribadi milik pekerja kilang berusia 27 tahun berhampiran stesen minyak di Jalan Tuaran dekat sini, 4 November lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa kerugian selepas kehilangan beberapa telefon bimbit, dompet serta serangkai kunci kereta.

“Pada jam 11 malam keesokan harinya, mangsa sekali lagi terkejut apabila terdengar penggera kenderaan berbunyi dan ketika membuat pemeriksaan, dua individu tidak dikenali melarikan keretanya,” katanya, semalam.

Beliau berkata, susulan maklumat mangsa, sepasukan anggota polis membuat siasatan dan menjejaki dua suspek berkenaan di Kampung Muhibbah Likas.

“Hasil siasatan terhadap kedua-dua suspek, mereka mengaku memecah masuk rumah sewa mangsa dan turut melarikan kereta berkenaan.

“Berpandukan tunjuk arah suspek, polis menemui semula Proton Saga BLM milik mangsa di bulatan Kingfisher, Jalan Sulaman pada hari sama tangkapan dilakukan,” katanya.

Katanya, seorang daripada suspek memiliki rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 15(1), Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: November 11, 2017 @ 8:06am
d