mutakhir

Cadang tambah anggota, pegawai UTK

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) berharap kerajaan dapat mempertimbangkan tambahan kira-kira 350 lagi anggota dan pegawai Unit Tindakan Khas (UTK) dalam tempoh dua tahun selaras usaha meningkatkan lagi perlindungan keselamatan negara termasuk membabitkan kawalan terhadap orang kenamaan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, buat masa ini terdapat seramai 410 pegawai dan anggota UTK, namun hanya kira-kira 300 sahaja yang masih aktif.

Katanya, berdasarkan keperluan semasa, UTK memerlukan tambahan kira-kira 350 lagi anggota serta pegawai atau keseluruhannya seramai 750 orang.

“Pada masa kini, kekangan adalah membabitkan jumlah keanggotaan kerana kebanyakan anggota UTK bukan saja terbabit dalam memberi perlindungan kepada orang kenamaan, sebaliknya turut terbabit dalam penugasan kawalan di pantai timur Sabah.

“Mereka ini ditugaskan secara bergilir dan ada antaranya terpaksa berpisah dengan keluarga selama beberapa bulan dengan kerap berikutan perlu memberikan komitmen terhadap tugas.

“Jadi, kita sudah meneliti perkara ini dan sudah pun mengusulkannya kepada kerajaan terhadap keperluan menambah sehingga 750 anggota dan pegawai UTK,” katanya dalam sidang media sempena Lawatan Kerja di Lapang Sasar Unit Tindakan Khas (UTK) Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah, Cheras, pagi tadi.

Hadir sama Komander UTK Datuk Mastor Mohd Ariff, Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (StaRT) Datuk Seri Acryl Sani dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Amar Singh Ishar Singh.

Mohamad Fuzi berkata, pihaknya juga turut memohon agar kerajaan mempertimbang untuk menaikkan kadar elaun khas anggota UTK antara RM1,000 hingga RM2,000 sebagai pengiktirafan kepada mereka.

Katanya, permohonan dibuat berikutan untuk menyertai pasukan elit itu bukan mudah kerana daripada 100 permohonan, hanya 15 sahaja yang berjaya melepasi latihan dan diserap dalam unit terbabit.

“UTK berbeza daripada unit lain kerana aspek latihan yang cukup keras dan lasak. Jadi, memadai jika elaun ini dapat dinaikkan selari dengan penugasan, kebolehan dan kepakaran mereka.

“Saya percaya kenaikan elaun ini nanti dapat menarik lebih banyak penyertaan untuk memasuki unit elit ini kelak,” katanya.

Sementara itu, dalam lawatan kerja yang dilakukan, Mohamad Fuzi turut menunjukkan kebolehan menembak tembikai dalam jarak 100 meter dengan tepat menggunakan rifle AX38.

Disiarkan pada: November 11, 2017 @ 3:13pm
d