mutakhir

Risiko bomba

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

DUA anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, cedera selepas silo tangki habuk kayu meletup ketika sedang memadamkan kebakaran silo berkenaan di kilang memproses kayu di Kawasan Perindustrian IGB di Tasek, Ipoh, hari ini.

Dalam kejadian 8.20 pagi itu, dua anggota berkenaan iaitu Shazlan Mohd Hanafiah, 32, dan Mohd Azri Aziz sedang menjalankan kerja-kerja pemantauan di atas puncak silo setinggi bangunan dua tingkat selepas kebakaran berjaya dikawal.

Difahamkan, Shazlan terbakar sebanyak 10 peratus iaitu di beberapa bahagian antaranya leher, bahu dan muka manakala Mohd Azri terbakar di bahagian leher dan bawah dagu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Datuk Yahya Madis berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian kebakaran itu kira-kira 7.30 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, anggota kemudiannya melakukan kerja-kerja pemadaman di kilang membuat papan itu sebelum kedua-dua anggota berkenaan memanjat tangki silo untuk kerja pemantauan.

"Kedua-dua anggota kemudiannya membuka pintu silo di bahagian puncak untuk memasukkan air, bagaimanapun sebelum sempat memasukkan air, berlaku letupan menyebabkan kedua-dua anggota terpaksa terjun.

"Mohd Azri yang terbakar satu peratus sudah dimasukkan ke wad biasa manakala Shazlan masih dalam pemantauan doktor kerana bimbang terdapat anggotanya yang patah," katanya.

Yahya ditemui ketika melawat kedua-dua mangsa di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak Datuk Rusnah Kassim.

Menurut Yahya, kebakaran di kilang berkenaan adalah kali keempat dalam tempoh tiga bulan dan operasi pemantauan di lokasi kejadian masih dijalankan sehingga tengah hari ini.

Disiarkan pada: November 11, 2017 @ 5:17pm
d