mutakhir

Paras air di Sungai Langat naik

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

KIRA-KIRA 200 keluarga di Dengkil, Selangor terjejas akibat banjir susulan paras air Sungai Langat meningkat hampir satu meter selepas hujan lebat di daerah Hulu Langat, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya Izman Adnan berkata, antara kawasan yang terjejas ialah Taman Baiduri, Taman Permata, Taman Kristal, Taman Putra Kondo serta Kampung Cemperai dan Kampung Revolusi Hijau.

"Banjir ini susulan hujan lebat di Hulu Langat semalam dan ini menyebabkan air Sungai Langat tinggi dan ia mengalir turun di Dengkil.

"Justeru, Dewan Orang Ramai Dengkil dibuka bagi pusat pemindahan mangsa dan pada masa ini, kelihatan air surut cuma kita khuatir hujan lagi di daerah Hulu Langat," katanya ketika dihubungi.

Tinjauan Harian Metro di pusat pemindahan mendapati setakat ini hanya dua keluarga dari Kampung Cemperai ditempatkan di Dewan Orang Ramai Dengkil.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Zon Timah Langat Lee Kan Ming berkata, air naik sekitar 5.30 pagi dan pada masa ini, keadaan adalah terkawal malah semua pihak yang berkenaan bersiap sedia untuk memindahkan mangsa sekiranya berlaku hujan di daerah Hulu Langat.

"Kita minta penduduk yang kediamannya dinaiki air supaya menghadirkan diri ke pusat pemindahan disediakan bagi mendapatkan bantuan.

"Buat masa ini, hanya satu pusat pemindahan dibuka dan jika paras air sungai naik manakala jumlah mangsa bertambah, kita akan buka satu lagi pusat pemindahan," katanya.

Sementara itu, penduduk, Sella Darusman, 47, berkata, dia dan suami, Muhammad Alwi serta tiga anak datang ke pusat pemindahan itu 11 pagi hari ini selepas rumah mereka dinaiki air.

"Selepas lima tahun, kejadian banjir ini berulang kembali namun yang dulu lebih buruk kerana air memasuki kawasan rumah sehingga paras pinggang dan kali ini di paras betis.

"Bagaimanapun, ada juga barang di rumah terkena air tetapi, kami sempat menyelamatkan beberapa barang kerana ada yang disimpan di tempat tinggi," katanya.

Disiarkan pada: November 11, 2017 @ 5:44pm
d