mutakhir

Selamat di Pulau Jemaja

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

DUA pemandu pelancong yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Tioman, Rabu lalu, ditemui selamat di Pulau Jemaja di kepulauan Riau, 4 petang hari ini.

Mangsa, Amat Mohamad, 50, dan anak saudaranya, Mohd Abdul Lattif Kasim, 20, dikatakan membuat panggilan dari Pulau Jemaja memaklumkan kepada keluarga bahawa mereka dalam keadaan baik selain kini dirawat di hospital di pulau itu.

Kakak Mohd Abdul Lattif, Salmah Kasim, 23, berkata, mereka sekeluarga menerima khabar gembira itu pada 4 petang sebelum segera memaklumkan kepada pihak berkuasa.

“Kami dimaklumkan pihak berkuasa negara dalam perjalanan ke Pulau Jemaja (Indonesia) untuk melihat sendiri keadaan adik saya serta bapa saudara kami.

“Saya bersyukur mereka berdua selamat selepas hilang sejak Rabu lalu,” katanya ketika dihubungi, di Kuantan, hari ini.

Difahamkan mereka ditemui kumpulan nelayan Indonesia selepas bot dinaiki hanyut ketika berada di perairan Pulau Tioman sebelum dibawa ke Pulau Jemaja untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, Amat dan Mohd Abdul Lattif dikatakan dalam perjalanan pulang ke jeti Pulau Tioman menaiki bot gentian kaca yang baru dibeli melalui jeti Kuala Rompin.

Bagaimanapun, mereka gagal dihubungi beberapa jam kemudian sebelum operasi pencarian digerakkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Berita berkaitan

Pemandu pelancong hilang

Disiarkan pada: November 11, 2017 @ 7:05pm
d