mutakhir

Hantar 60 kontena bantuan mangsa banjir

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

Bayan Lepas : Lebih 60 kontena berisi keperluan asas dan kit bantuan diberikan kepada mangsa banjir di Dewan Masyarakat Teluk Kumbar, di sini, semalam.

Bantuan dari kerajaan persekutan itu disampaikan Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Abdul Azeez berkata, misi bantuan yang masuk hari kelima bermula sejak Ahad lalu dengan sumbangan kepada mangsa banjir di Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan yang terjejas teruk.

Beliau berkata, bantuan asas dan keperluan harian termasuk tilam, bantal, barangan keperluan memasak dan makanan disalurkan kepada mangsa membabitkan 40 kontena.

Katanya, sejak 8‬ pagi lagi misi bantuan tertumpu di seluruh pulau membabitkan Rumah Pertubuhan Kebajikan Agape, Air Itam.

“Lokasi lain mangsa banjir yang menerima bantuan ialah di Jalan Kebun Lama, Jalan Terengganu, Jalan Zoo, Air Itam, Teluk Kumbar, Sungai Rusa, Balik Pulau dan Batu Maung membabitkan 20 kontena.

“Kita bersyukur misi bantuan ini berjaya disempurnakan dengan selamat dan teratur,” katanya ketika menyampaikan bantuan kepada 430 mangsa banjir di Teluk Kumbar, di sini semalam.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Bayan Lepas Nordin Ahmad dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Balik Pulau Siti Faridah Arshad.

Abdul Azeez berkata, inisiatif bantuan itu membuktikan sikap prihatin kerajaan Persekutuan terhadap mangsa banjir di Pulau Pinang.

Beliau berkata, pihaknya menafikan dakwaan pakatan pembangkang bahawa tiada bantuan dihulurkan kepada mangsa banjir oleh kerajaan Persekutuan.

“Tidak perlu mempolitikkan isu banjir dan berhenti mengelirukan rakyat untuk meraih simpati.

“Tidak perlu saya ulas panjang mengenai isu ini kerana rakyat Pulau Pinang sendiri dapat melihat kehadiran kami (Kerajaan Persekutuan) mengagihkan bantuan kepada masyarakat dan biarlah mereka nilai sendiri keikhlasan kami,” katanya.

Disiarkan pada: November 12, 2017 @ 8:29am
d