mutakhir

Rampasan kira-kira RM1 juta [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

JABATAN Perikanan Negeri Terengganu menahan 12 nelayan asing yang menceroboh perairan negeri dan menunda ikan di zon yang tidak dibenarkan di Dungun semalam dengan rampasan dianggarkan bernilai RM1 juta.

Bot pertama ditahan pada jam 4.30 pagi iaitu kira-kira 6.5 batu nautika dari Pantai Kuala Abang Dungun manakala bot kedua pula ditahan pada jam 5 pagi kira-kira 9.3 batu nautika dari pantai sama susulan aduan diterima daripada Skuad Sukarelawan Perikanan (Super).

Timbalan Pengarah Perikanan Terengganu Rusman Rusdy berkata, pihaknya menahan lapan nelayan Vietnam di dalam bot pertama dari Pahang manakala empat nelayan Thailand ditahan di dalam bot kedua.

Beliau berkata, dua bot berkenaan adalah bot tempatan namun menggunakan khidmat nelayan asing dan pemeriksaan mendapati semua nelayan berusia 20 hingga 50 tahun mempunyai lesen yang dibenarkan.

"Bagaimanapun, mereka melanggar syarat dan menceroboh zon tangkapan ikan yang dibenarkan serta beroperasi di kawasan larangan tangkapan ikan.

“€œNilai rampasan ikan adalah RM20,000 (nilai lelongan ikan) dengan rampasan keseluruhan termasuk bot dan peralatan dianggarkan bernilai RM1 juta.

"Mereka kini ditahan mengikut Akta Perikanan 1985 untuk tindakan selanjutnya,”€ katanya ketika ditemui di Jeti Perikanan Chendering Kuala Terengganu hari ini.

Turut hadir, Ketua Unit Bahagian Perlindungan Sumber, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Hairul Affendy Adzmi.

Rusman berkata, ia adalah tangkapan ke-20 dilakukan Unit Perlindungan Sumber sepanjang tahun ini hasil aduan dan pemantauan dijalankan pihaknya.

“€œSejak kebelakangan ini, kita menerima banyak aduan daripada nelayan tempatan khususnya nelayan tradisional seperti kerosakan peralatan dan unjam yang menyebabkan kerugian kepada mereka.

"Kebanyakan unjam dibuat secara berkelompok di sesetengah tempat dan mereka meletakkan antara 40,000 hingga 60,000 unjam di sesuatu kawasan yang mana ada antara unjam itu dibuat sendiri manakala sebahagiannya hasil sumbangan daripada pemimpin tempatan.

"Namun, tindakan segelintir nelayan menunda ikan di zon yang tidak dibenarkan menyebabkan nelayan tradisional menanggung kerugian," katanya.

Setakat ini, jumlah kerugian yang direkodkan nelayan di Marang dan Besut akibat kerosakan unjam mencecah hampir RM500,000.

Disiarkan pada: November 12, 2017 @ 5:40pm
d