mutakhir

KDN kaji undang-undang khas dron

Oleh HM Digital

Johor Bahru: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengkaji untuk menggubal undang-undang berkaitan penggunaan peranti pengawasan termasuk dron di negara ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, langkah itu termasuk kamera litar tertutup (CCTV) selain apa-apa alat bagi tujuan pengawasan atau mengesan bunyi.

Menurutnya, kegunaan dron boleh menjejaskan serta mengganggu isu peribadi orang awam.

Dakwanya, ia berikutan alat itu boleh digunakan bagi menjejak dan mengenal pasti aktiviti orang ramai secara bebas.

“Ia boleh mendedahkan mereka kepada aktiviti pengintipan. Bidang kuasa penggunaan dron di bawah Kementerian Pengangkutan. Oleh itu kita akan berbincang dengan mereka berkaitan kaedah terbaik supaya ada pengawalan penggunaan peralatan itu,” katanya pada Program Sarapan Pagi Bersama Rakyat di Taman Cempaka, di sini, semalam.

Nur Jazlan berkata, kini hanya dron atau apa-apa peralatan boleh terbang lebih 25 kilogram dilesenkan oleh kementerian berkenaan.

Namun menurutnya, dron pada masa kini lebih ringan dan kecil dan boleh terbang ke mana-mana saja.

Katanya, penentuan dan bidang kuasa penggunaan dron bawah 25 kilogram perlu diwujudkan sama ada di bawah KDN atau Kementerian Pengangkutan.

“Undang-undang khas berkaitan penggunaan dron untuk pengintipan memang tiada dan sebelum ini kita mengganggap ia di bawah Kementerian Pengangkutan,” katanya.

Disiarkan pada: November 13, 2017 @ 10:00am
d