mutakhir

Sama-sama genggam ijazah

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Kesibukan kerja selain perlu menguruskan hal rumah tangga jelas bukan penghalang untuk sepasang suami isteri menamatkan pengajian bersama-sama dan menggenggam ijazah pada Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-33, di sini, semalam.

Pada majlis konvokesyen itu, Sapiah Abdul Hamed, 42, dan suaminya, Syikh Sazlin Shah Sabri, 38, menerima Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan di bawah Kulliyah Ekonomi dan Sains Pengurusan.

Pasangan berkenaan antara 1,088 graduan menerima ijazah pada sidang ketiga istiadat konvokesyen UIAM yang disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di Dewan Utama Pusat Kebudayaan UIAM, Kampus Gombak.

Seramai 5,165 graduan menerima ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen kali ini yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam.

Menurut Sapiah, pelbagai cabaran yang perlu mereka harungi sepanjang pengajian empat tahun antaranya tanggungjawab terhadap keluarga dan pekerjaan masing-masing serta cara menguruskan perbelanjaan.

“Nampak mudah, tetapi ada masa memang rasa nak menangis. Untuk sampai ke tahap ini memang perlu banyak sabar dan bijak kawal tekanan. Memandangkan kami belajar sambil bekerja, banyak waktu berehat atau bersama keluarga terpaksa dikorbankan.

“Perlu hadiri kelas, adakan perbincangan kumpulan, siapkan tugasan dan ‘bertapa’ (ulang kaji) sebelum hadapi peperiksaan. Pernah rasa nak mengalah, namun keluarga selalu beri sokongan,” katanya ketika ditemui selepas konvokesyen.

Sementara itu, bekas Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Undang-Undang.

Disiarkan pada: November 13, 2017 @ 10:00am
d