mutakhir

12 nelayan penceroboh ditahan

Oleh HM Digital

Kuala Terengganu: Jabatan Perikanan Terengganu menahan seramai 12 nelayan asing yang menceroboh perairan negeri dan menunda ikan di zon yang tidak dibenarkan di Dungun dengan rampasan dianggarkan bernilai RM1 juta, kelmarin.

Bot pertama ditahan pada jam 4.30 pagi di kira-kira 6.5 batu nautika dari Pantai Kuala Abang Dungun, manakala bot kedua pula ditahan 30 minit kemudian kira-kira 9.3 batu nautika dari pantai sama susulan aduan diterima daripada Skuad Sukarelawan Perikanan (Super).

Timbalan Pengarah Perikanan Terengganu Rusman Rusdy berkata, pihaknya menahan lapan nelayan Vietnam di dalam bot pertama dari Pahang, manakala empat nelayan Thailand ditahan di dalam bot kedua.

Katanya, dua bot berkenaan adalah bot tempatan, namun menggunakan khidmat nelayan asing dan pemeriksaan mendapati mereka berusia 20 hingga 50 tahun mempunyai lesen yang dibenarkan.

“Bagaimanapun, semua nelayan terbabit didapati melanggar syarat dan menceroboh zon tangkapan ikan yang dibenarkan serta beroperasi di kawasan larangan tangkapan ikan.

“Nilai rampasan ikan berjumlah RM20,000 (nilai lelongan ikan) dengan rampasan keseluruhan termasuk bot dan peralatan dianggarkan bernilai RM1 juta. Mereka kini ditahan mengikut Akta Perikanan 1985 untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di Jeti Perikanan Chendering di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Unit Bahagian Perlindungan Sumber, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Hairul Affendy Adzmi.

Rusman berkata, ia adalah tangkapan ke-20 dilakukan Unit Perlindungan Sumber sepanjang tahun ini hasil aduan dan pemantauan dijalankan.

“Sejak kebelakangan ini, kita menerima banyak aduan daripada nelayan tempatan khususnya nelayan tradisional seperti kerosakan peralatan dan unjam yang menyebabkan kerugian.

“Kebanyakan unjam dibuat secara berkelompok di sesetengah tempat dan mereka meletakkan antara 40,000 hingga 60,000 unjam di sesuatu kawasan yang mana unjam itu dibuat sendiri dan ada sebahagiannya hasil sumbangan daripada pemimpin tempatan,” katanya.

Disiarkan pada: November 13, 2017 @ 11:05am
d