mutakhir

56 diburu polis Perlis [METROTV]

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

POLIS Perlis hari ini mengeluarkan wajah 56 individu termasuk enam orang paling dikehendaki membabitkan kes jenayah berat di negeri itu.

Suspek berusia antara 17 hingga 67 tahun itu dikehendaki bagi menyelesaikan kes tertunggak sejak 1999 sehingga kini membabitkan kes bunuh, cubaan bunuh dan beberapa kes lain.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Superintendan Azahar Muda berkata, semua 56 suspek berkenaan termasuk seorang wanita adalah warga Malaysia dari beberapa negeri.

"Enam daripada 56 suspek dikategorikan sebagai paling dikehendaki kerana terbabit dalam kes bunuh, cubaan membunuh dan kes samun.

"Seorang dikesan membabitkan kes bunuh ialah Chan Chong Weng, 55; cubaan membunuh dua orang iaitu, Khazali Abdullah, 42, dan Muhamad Rizal Ismail, 27; seorang bagi kes cubaan membunuh iaitu Ahmad Farid Nordin, 29; dan dua individu bagi kes samun ialah Muhammad Huzaeri Hussen, 26, dan Muhammad Shahrul Vadivel Abdullah, 40," katanya di IPK Perlis di Kangar, hari ini.

Menurut Azahar, pihaknya percaya semua suspek yang kini sedang diburu masih berada di sekitar Perlis selain dari lari ke Selatan Thailand.

"Polis Perlis kini giat memburu untuk menangkap individu ini bagi membantu siasatan dan kita pasti mereka masih berlegar di sekitar Perlis dan ada juga kemungkinan mereka lari ke negara jiran (Thailand).

"Malah kita juga sudah memaklumkan kepada pihak berkuasa negara jiran mengenai individu ini agar mereka berkerjasama memberkas suspek sekiranya mereka dilihat di negara jiran," katanya.

Azahar berkata, justeru pihaknya meminta suspek terbabit untuk menyerah diri bagi membantu pihak polis selain meminta orang awam sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan enam individu terbabit dan yang lainnya segera menghubungi balai polis berdekatan.

"Untuk sebarang maklumat mengenai suspek yang dikehendiki orang awam boleh menghubungi Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kangar di talian 019-6610867, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padang Besar di talian 019-9978700, dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Arau di talian 012-4336002," katanya.

Disiarkan pada: November 13, 2017 @ 12:57pm
d