mutakhir

Berikan masa kuasai KBAT

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

KEMAHIRAN berfikir aras tinggi (KBAT) bukan sebuah program sebaliknya satu proses malah, ia mengambil masa yang lama untuk dikuasai.

Itu penjelasan diberikan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengenai KBAT yang baru-baru menjadi perbahasan kononnya elemen berkenaan menjadi punca kepada kegagalan dasar pendidikan.

Mahdzir berkata, KBAT adalah satu proses yang mengambil masa yang lama dan bukannya boleh dikuasai dalam tempoh yang cepat.

"Menerusi KBAT, kami mahu pelajar mempunyai kebolehan berfikir, menjawab dan berkomunikasi dengan cepat.

"Ia satu proses yang lama justeru, kita tidak boleh salahkan cikgu dan sekolah sahaja. Justeru, guru pun kena pergi kursus untuk mengetahui bagaimana nak ajar KBAT," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Hari Bacaan Ikrar Rukun Negara di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (2) di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup.

Katanya, pihaknya juga mahu elemen Kelas Abad 21 dan penerapan teknologi terkini dalam aspek pengajaran dan pembelajaran (PdP) dapat dibawa dalam setiap kelas bagi memberi kefahaman KBAT kepada pelajar.

Mahdzir berkata, pihaknya menjangkakan proses KBAT akan menjadi lebih baik dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Baru-baru ini, Mahdzir menafikan guru menjadi punca kepada kegagalan KBAT sebaliknya menegaskan ia adalah satu transformasi dalam pendidikan.

Menurutnya, KBAT baru dilaksanakan tiga tahun dan kini guru-guri sedang dilatih dari semasa ke semasa untuk mendalami elemen berkenaaan

Isu KBAT timbul selepas kenyataan dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan mengenai KBAT disalah tafsir oleh portal berita.

Sementara itu, Mahdzir dalam ucapannya berkata, penganjuran program bacaan Ikrar Rukun Negara membuktikan kesungguhan semua pihak dalam meningkatkan kesedaran pelajar mengenai kepentingan menghayati dan mengamalkan prinsip Rukun Negara dalam kehidupan seharian.

Menurutnya, prinsip Rukun Negara perlu disematkan dalam jiwa setiap warga Malaysia agar sentiasa menjadi pegangan dan panduan ke arah kecintaan dan ketaatan kepada negara.

Terdahulu, Kurup menyerahkan sumbangan bernilai RM220,000 kepada Mahdzir bagi melancarkan program Silang Budaya oleh Kelab Rukun Negara di 220 sekolah di seluruh negara.

Program Silang Budaya diperkenalkan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) bertujuan memupuk dan memelihara aspirasi perpaduan dalam kalangan generasi muda pada masa kini.

Disiarkan pada: November 13, 2017 @ 1:32pm
d