mutakhir

4 suspek belasah mekanik dicekup

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

POLIS tahan empat lelaki disyaki membelasah mekanik di Kampung Batu Danau, Limbang, semalam.

Semua suspek berusia 18 hingga 22 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang, 8.20 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintendan Mohd Bukhori Saffai berkata, dalam kejadian itu, mangsa berusia 24 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala selepas dibelasah suspek menggunakan kayu dan besi.

Menurutnya, kejadian kira-kira jam 2 pagi semalam berlaku ketika mangsa mengambil isterinya di satu majlis keramaian di kampung berkenaan.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, dua lelaki yang dikenali mangsa tiba-tiba menyerangnya menggunakan kayu dan besi selain merosakkan motosikal mekanik berkenaan.

"Mangsa bagaimanapun tidak mengetahui suspek bertindak sedemikian kerana tidak mempunyai masalah dengan mereka," katanya.

Beliau berkata, melihat mangsa sudah terbaring berlumuran darah dan kejadian disedari orang awam, suspek terus melarikan diri.

Katanya, mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Limbang untuk rawatan kecemasan namun kini dilaporkan stabil.

Mohd Bukhori berkata, semua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Disiarkan pada: November 13, 2017 @ 2:05pm
d