mutakhir

Detik cemas tiga pagi

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

KELUARGA di Kampung Parit Belemam, Mukim 6, Tongkang Pechah, Batu Pahat, kerugian RM6,000 selepas dirompak tiga penjenayah yang memecah masuk rumah mereka kira-kira 3 pagi tadi.

Mangsa, Faridah Arshad, 48 berkata, perompak yang memakai topeng muka dan sarung tangan serta bersenjatakan pisau dan parang, mengikatnya sekeluarga termasuk suami dan dua anak menggunakan wayar tetikus komputer dan langsir.

“Kami sedang tidur dan saya terkejut selepas terjaga apabila mendapati anak bongsu, Muhammad Azlisham, 17, diacukan pisau di lehernya yang sebelum itu tidur di ruang tamu.

“Perompak mengatakan mereka hanya mahu duit dan saya menunjukkan tempat duit disimpan dan dalam masa sama, anak sulung, Muhamad Azizul, 24, yang tersedar dari tidur kerana bunyi bising, keluar dari biliknya.

“Dia menyuruh perompak keluar tetapi suspek menyuruh saya duduk kemudian mengacukan pisau ke leher saya pula.

“Anak bongsu dan suami, Azlan Ayob, 49, meminta saya jangan melawan dan memberikan apa diminta,” katanya ketika ditemui di kediamannya hari ini.

Beliau berkata, suspek dipercayai memasuki rumahnya dari pintu belakang dan melarikan diri menggunakan laluan sama.

“Suspek berada di dalam rumah kami kira-kira 30 minit sebelum melarikan diri dan cubaan kami menjejaki mereka tidak berhasil.

“Mujur kami tidak diapa-apakan kerana memberikan kerjasama kepada mereka dan suami berjaya membuka ikatan lalu bergegas ke pondok pengawal keselamatan sekolah di hadapan rumah untuk meminta pertolongan pada 3.18 pagi,” katanya.

Beliau berkata, suspek yang bertubuh kecil, kurus dan sederhana tinggi, melarikan barangan milik mereka antaranya anting-anting emas, telefon bimbit pelbagai jenama, komputer riba, tablet selain wang tunai RM3,000.

“Kami sekeluarga trauma dengan kejadian ini dan pertama kali mengalaminya,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan KS Mender Singh mengesahkan polis menerima laporan berkenaan dan sedang menyiasatnya mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: November 13, 2017 @ 3:27pm
d