mutakhir

Didenda RM10,000 kerana RM600

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan

PEMILIK lori dan pemandunya didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Ipoh di sini hari ini kerana memberikan rasuah RM600 kepada pembantu penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas lorinya yang membawa lebih muatan pada November 2014.

S Moorthy, 51 dan pemandu lorinya, V Kumar, 57, mengaku bersalah di atas perbuatan itu.

Hakim S Indra Nehru kemudian memerintahkan kedua-dua tertuduh dihukum penjara seminggu dari tarikh hari ini dan denda RM10,000 dijalankan serentak bagi kesalahan yang dilakukan itu serta penjara empat bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 12 November 2014, 10.30 pagi di Jalan Lumut - Ipoh, Seri Iskandar dekat sini dengan memberi satu suapan wang tunai kepada Azlee Ahmad sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas lori yang membawa lebih muatan daripada dikenakan tindakan penguatkuasaan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2012.

Sabit kesalahan boleh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau 10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dijalankan oleh Nurul Wahida Jalaluddin sementara Moorthy diwakili oleh T Ellangovan manakala Manjeet Kaur mewakili Kumar.

Terdahulu pertuduhan kes dijalankan di dalam mahkamah secara tertutup selepas hakim bersetuju menerima permohonan peguam tertuduh mengikut Sesyen 172C Kanun Prosedur Jenayah.

Moorthy hadir ke mahkamah dengan berpakaian kemeja putih dan berseluar hitam manakala Kumar berpakaian kemeja biru dan berseluar jeans.

Disiarkan pada: November 13, 2017 @ 3:49pm
d