mutakhir

Sinar baru keluarga Sarina

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

NASIB sekeluarga yang tinggal di rumah kecil dan usang di Kampung Kedai Buloh, Jalan PCB, Kota Bharu mendapat simpati ramai apabila menerima sumbangan barang keperluan dan wang tunai, hari ini.

Keluarga berkenaan yang diwakili, Sarina Musa, 32, menerima bantuan daripada UMNO Bahagian Pengkalan Chepa dan Koperasi Waris Kelantan Berhad (KOPWA).

Naib Ketua UMNO bahagian Pengkalan Chepa, Wan Shahrul Azwan Wan Abdul Aziz berkata, pihaknya akan cuba menyelesaikan masalah yang dihadapi keluarga berkenaan terutama membaik pulih rumah mereka.

Katanya, keadaan rumah yang uzur terutama zink dipenuhi lubang dan dinding yang menggunakan zink serta papan lapis akan dibaiki segera.

"Kita akan menyelesaikan masalah keluarga berkenaan dengan memberi bantuan rumah.

"Pihak kita dimaklumkan keluarga itu belum menyelesaikan bayaran tapak rumah sebanyak RM9,500 kepada individu tertentu dan kita akan cuba selesaikan sebelum membangunkan rumah," katanya ketika ditemui selepas lawatan ke rumah Sarina di Kampung Kedai Buloh, Jalan PCB, di sini, hari ini.

Pada masa sama, pegawai Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK) turut tampil mengambil gambar rumah mangsa bagi memberi bantuan susulan.

Turut hadir memberi sumbangan, Pengerusi KOPWA, Datuk Dr Zain Yusof yang memberi wang tunai RM500 dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang, Wan Ubaidah Omar memberi barang keperluan harian.

Wan Shahrul Azwan berkata, keluarga itu memerlukan bantuan terutama dari segi kewangan.

Katanya, pihaknya juga akan membantu anak sulung wanita berkenaan, Khairul Nizam Fadli, 10, yang berhenti sekolah sejak dua tahun lalu, supaya dapat meneruskan persekolahan demi masa hadapan.

Manakala, Khairul Nizam ketika ditemui berkata, dia mahu kembali ke sekolah kerana mahu mengubah nasib keluarganya.

"Saya rindukan suasana persekolahan dan berjanji akan belajar bersungguh-sungguh," katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan keluarga Sarina hidup daif dan keadaan itu menyebabkan Khairul Nizam berhenti sekolah selepas diejek rakan kerana malu.

Sementara itu, Sarina melakukan tiga kerja setiap hari dari 7 pagi hingga 7 petang dengan upah RM40 hingga RM50 sehari. Manakala, suaminya, Fadli Jusoh, 36, kerja sebagai pengutip buah kelapa dengan pendapatan RM20 sehari.

Disiarkan pada: November 13, 2017 @ 5:54pm
d