mutakhir

20 Disember depan tarikh perbicaraan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Abnor Hamizam Abd Manap

MAHKAMAH Majistret Bahau, hari ini, menetapkan 20 Disember depan sebagai tarikh perbicaraan seorang pemandu treler yang menyebabkan lapan maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 25, Jalan Bahau-Keratong, 11 Jun lalu.

Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali menetapkan tarikh berkenaan selepas dipersetujui pihak pendakwaan dan peguam bela.

Tertuduh, Norzailan Omar, 44, dari Triang, Pahang yang sebelum ini membuat pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Majistret Jelebu 15 Jun lalu, tiba di mahkamah jam 9.50 pagi ditemani kenalannya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu secara berbahaya tanpa mengambil perhatian mengenai segala aspek termasuk jenis, keadaan dan saiz jalan serta lalu lintas hingga kemalangan yang mengorbankan lapan mangsa termasuk enam sekeluarga.

Tragedi itu mengorbankan Wan Mohd Fauzi Wan Mohd Ibrahim, 51, isteri, Masnoraida M Yusoff, 45, serta empat anak mereka, Wan Muhammad Muhaimmin, 22, Wan Nor Athira, 18, Wan Mohd Ammar Haziq, 13, dan Wan Nur Aiesya, 7.

Dua lagi yang maut pemandu Myvi Osman Mohamed Taip, 31, dan isteri Rosniza Othman, 32.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah manakala tertuduh diwakili D Anuratha.

Disiarkan pada: November 13, 2017 @ 6:48pm
d