mutakhir

Samseng sangatkan...sekarang polis cari [METROTV]

Oleh Nabihah Kamal

HANYA kerana menegur seorang lelaki yang memotong barisan ketika beratur untuk membeli kasut di butik pusat beli-belah di ibu negara, pembantu pemasaran berusia 22 tahun ditumbuk lelaki itu menyebabkan tulang hidungnya patah dan matanya lebam, Sabtu lalu.

Dalam kejadian 6 pagi itu, Faiz Hariz Nurhuda, beratur untuk membeli kasut edisi terhad berharga RM1,150 sebelum didatangi lelaki terbabit.

"Saya sudah ada di pusat beli-belah itu sejak 2 pagi lagi sebelum berlari ke tingkat 3 bangunan itu pada 6 pagi sebaik pintu pusat beli belah dibuka.

"Bagaimanapun, ketika saya beratur di hadapan butik itu datang sekumpulan lelaki yang meminta kami beratur mengikut senarai nama yang disediakan," katanya.

Menurutnya, pelanggan yang beratur tidak mengendahkannya menyebabkan seorang daripada sekumpulan lelaki itu mengamuk.

"Dia marah dan menjerit sebelum memotong barisan saya. Saya beritahu dia 'first come first serve' (siapa cepat dia dapat) sebelum kami bertengkar seperti dalam video yang tular itu.

"Lelaki itu tidak puas hati dan menumbuk saya di muka menyebabkan hidung saya patah dan mata saya lebam," katanya yang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah yang mengesahkan kejadian berkata, pihaknya sudah meneliti rakaman video yang tular melalui media sosial.

"Setakat ini polis giat mengesan suspek yang mencederakan mangsa akibat pergaduhan di butik di pusat beli-belah berkenaan.

"Susulan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 323/351 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

 

 

Disiarkan pada: November 13, 2017 @ 7:04pm
d