mutakhir

19 penuntut UPNM dibicara bersama

Oleh BERNAMA

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya kes 19 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang menghadapi pertuduhan membunuh dan mencederakan rakan seuniversiti mereka, Pegawai Kadet Laut UPNM Zulfarhan Osman Zulkarnain, dibicarakan bersama.

Hakim Datuk Azman Abdullah membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Othman Abdullah dan Nurakmal Farhan Aziz ketika kes itu disebut semula hari ini.

Azman berkata perbicaraan secara bersama lebih mudah kerana jenayah itu membabitkan tertuduh dan saksi yang sama malah Seksyen 330 dan 302 Kanun Keseksaan yang dihadapi 19 tertuduh dalam kes itu mempunyai kaitan antara satu sama lain.

Beliau kemudian menetapkan 8 Disember untuk sebutan semula kes itu.

Terdahulu, 19 tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap Zulfarhan Osman bagi maksud memeras mangsa untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba.

Sembilan belas tertuduh yang kesemuanya berumur 21 tahun ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri , Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir dan Muhammad Hasif Ismail.

Tertuduh lain ialah Muhammad Akmal Akif Alias, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany, Mohamad Syazwan Musa, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu dalam bilik 03-05 Blok penginapan asrama Jebat, UPNM, antara 2.30 pagi dan 5.30 pagi, 21 Mei lalu dan di bilik 04-10, asrama sama, antara 1.30 pagi dan 4.30 pagi, 22 Mei lalu.

Kesemua mereka dituduh mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pada 10 November lalu, lima daripada 19 penuntut berkenaan iaitu Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif Najmudin dan Mohamad Shobiri menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan Osman di tempat, masa dan tarikh sama manakala Abdoul Hakeem menghadapi pertuduhan bersubahat dengan lima tertuduh membunuh pelajar itu.

Lima tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan manakala Abdoul Hakeem pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama-sama Seksyen 302 kanun sama yang membawa hukuman serupa.

Enam tertuduh masing-masing diwakili peguam Datuk Hazizah Kassim, Mohd Fadly Hashim, Zambri Idrus, Joshua Tay, Nurul Syuhada Abdullah dan Datuk Hazman Ahmad.

Ahli keluarga tertuduh dan mangsa turut hadir di mahkamah dan memenuhi galeri awam bagi mengikuti prosiding kes itu sehingga ada yang duduk di lantai mahkamah.

Zulfarhan Osman meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun lalu, dipercayai akibat didera selepas dituduh mencuri komputer riba milik rakannya.

Mangsa dilapor mengalami kesan melecur di bahagian dada, tangan dan kaki dipercayai akibat ditekap dengan seterika wap.

Disiarkan pada: November 13, 2017 @ 7:04pm
d