mutakhir

Geng Temenggong tumpas

Oleh Ibrahim Isa

TUJUH ahli Geng Temenggong yang sering menjadikan wanita keluar bekerja pada awal pagi sebagai mangsa ragut dan samun, ditahan polis dalam dua serbuan berasingan, di Kulai, Khamis lalu.

Kumpulan berkenaan aktif melakukan ragut, pecah rumah dan samun di sekitar daerah ini sejak awal tahun ini dan mensasarkan rumah individu dipercayai bekerja di Singapura untuk dipecah masuk.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Razak Md Said berkata, bertindak atas laporan kes pecah rumah, pihaknya menyerbu dua kediaman di flat Temenggong Kulai, pada 3 pagi, Khamis lalu.

Hasilnya, kami menahan tujuh lelaki berusia 15 hingga 27 tahun termasuk dua remaja tidak bersekolah.

"Selain menahan tujuh suspek berkenaan, kami merampas beberapa barang dipercayai digunakan untuk menyamun, meragut dan memecah rumah termasuk empat parang, dua buku lima, tujuh helmet dan komponen motosikal yang dileraikan.

"Selain itu, kami merampas pelbagai barangan dipercayai hasil jenayah mereka termasuk 64 rokok pelbagai jenis, televisyen plasma, 11 permit pekerja asing, 72 telefon bimbit, sembilan kotak barang kemas dan 12 botol arak yang mana jumlah keseluruhan rampasan RM20,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya mengenalpasti seorang lagi ahli kumpulan itu yang masih bebas dan yakin dapat memberkasnya dalam tempoh terdekat.

Katanya, hasil soal siasat kumpulan berkenaan mengaku bergiat aktif sejak awal tahun ini dengan lebih 20 kes pecah rumah, samun dan ragut.

"Pemeriksaan mendapati tiga daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Ujian saringan air kencing mendapati lima suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

"Semua suspek kini ditahan reman hingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK) kerana mencuri; Seksyen 457 KK kerana pecah rumah dan curi; Seksyen 392 KK kerana merompak dan Seksyen 395/397 KK kerana samun berkawan dan bersenjata serta Undang-undang Pencegahan Jenayah (Poca)," katanya.

Disiarkan pada: November 13, 2017 @ 9:33pm
d