mutakhir

Kembara diteruskan

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneruskan siri Kembara Jelajah Anti Rasuah (KEJAR) ke Sabah dan Sarawak tahun depan selepas siri kembara bermotosikal itu menerima sambutan memberangsangkan di seluruh negeri-negeri di Semenanjung.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, pihaknya memutuskan untuk meneruskan siri kembara berkenaan selepas meraih kejayaaan yang luar biasa dalam penganjuran di Semenanjung yang berlangsung selama 13 hari pada 18 hingga 30 September lalu.

Beliau berkata, penganjuran kembara tersebut juga secara tidak langsung dapat mendidik segenap lapisan masyarakat untuk membenci gejala rasuah dan pada masa sama membendung masalah tersebut daripada terus berleluasa.

"KEJAR yang dilaksanakan sempena ulang tahun ke-50 SPRM pada tahun ini adalah program mendekati masyarakat hingga ke akar umbi agar suruhanjaya digeruni perasuah. Siri kembara itu disertai lebih 135 pegawai dan kakitangan SPRM di semua peringkat.

"Pelbagai program dianjurkan di setiap lokasi persinggahan kembara antaranya ialah forum, aktiviti bersama masyarakat; ikrar rakyat perangi rasuah dan program agensi kerajaan bersama masyarakat," katanya ketika berucap pada Majlis Aprisiasi Kembara Jelajah Anti Rasuah (Kejar) 2017 dan Sambutan Jubli Emas SPRM di Putrajaya, malam ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil.

Katanya, pada siri kembara itu, peserta menjelajah sejauh 2,400 kilometer (km) dengan menaiki 40 motosikal berkuasa tinggi dan dua buah bas yang membawa pengurusan tertinggi dan pengarah-pengarah SPRM bahagian dan negeri.

Dzulkifli berkata, kembara ini berjaya membuktikan usaha berterusan SPRM untuk dekat dengan rakyat terutama dalam soal memerangi soal rasuah di negara ini.

"Kami mahu rakyat tahu kami ada bersama mereka (rakyat) dalam membanteras gejala rasuah. Kami mahu agensi ini dikenali sebagai 'agensi rakyat'," katanya.

Disiarkan pada: November 14, 2017 @ 12:56am
d