mutakhir

Kempen HOC dedah program aturcara komputer di sekolah

Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Seramai 90,000 murid menyertai Hour of Code (HOC) iaitu kempen kesedaran yang bertujuan memberi pendedahan awal dan meningkatkan kesedaran murid terhadap pengekodan, pengaturcaraan dan sains komputer.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon berkata, ia membabitkan hampir 1,000 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

Lebih menarik, Malaysia menjadi negara tertinggi di luar Amerika Syarikat yang menganjurkan kempen HOC dengan lebih daripada 2,000 program dianjurkan.

“Kempen yang dilaksanakan selama dua minggu bermula 30 Oktober hingga hari ini (semalam) mendapat maklum balas memberangsangkan daripada murid, pelajar dan guru, malah mereka amat menyukai program ini.

“Ini menunjukkan kita berada di landasan yang tepat untuk memperkenalkan pengekodan serta pengaturcaraan di sekolah sebab inilah masa depan, jadi kita mahu generasi akan datang bersedia untuk menempuh dunia serba baharu termasuk ekonomi digital...semua ini memerlukan kemahiran pengekodan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri kempen Hour of Code di Sekolah Kebangsaan Presint 14 (1), di sini, semalam.

Turut hadir, Naib Presiden Bakat dan Keusahawanan Digital Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Sumitra Nair.

HOC adalah aktiviti selama satu jam untuk memperkenalkan kepada murid asas pengaturcaraan dan sains komputer.

Melalui aktiviti ini, murid akan menyelesaikan masalah melalui gamifikasi drag dan drop programming secara dalam talian dan proses ini biasanya mengambil masa antara 30 hingga 60 minit.

Disiarkan pada: November 14, 2017 @ 4:59am
d