mutakhir

Bawa perut naik pentas

Oleh Siti Fatimah Nasir

Gombak: “Saya pernah berputus asa apabila tidak mahu meneruskan pengajian ketika berada di semester lapan selepas disahkan hamil. Namun dorongan ahli keluarga membuatkan saya membatalkan niat itu,” kata graduan Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Nur Attiya Masrom, 26.

Nur Attiya yang berkahwin pada tahun ketiga pengajiannya berkata, walaupun sarat mengandung dan menghitung hari menunggu kelahiran yang hanya dua minggu, dia teruja dan sanggup hadir menerima ijazah dalam Istiadat Konvokesyen UIAM ke-33, di sini, semalam.

“Walaupun tidak mampu berjalan disebabkan sudah sarat, saya sanggup mengenepikan segala kesakitan bagi memastikan impian menaiki pentas tercapai selepas empat tahun belajar.

“Alhamdulillah, walaupun berkerusi roda untuk naik ke pentas, impian menggenggam ijazah termakbul sebelum melahirkan anak,” katanya selepas majlis berkenaan di Dewan Utama Pusat Kebudayaan UIAM, Kampus Gombak, semalam.

Anak ketiga daripada enam beradik itu berkata, ketika menuntut di UIAM, dia perlu bijak membahagikan tugas dan tanggungjawab sebagai isteri, ibu dan juga pelajar demi memastikan pengajiannya tidak terganggu.

“Sepanjang tempoh pengajian, pelbagai dugaan saya tempuhi walaupun pernah terdetik mahu berhenti. Mujur, suami dan ahli keluarga bagi sokongan walaupun perlu menyesuaikan diri dalam keadaan berbadan dua.

“Cabaran paling hebat apabila saya mengalami pendarahan tiga kali sepanjang pengajian sehingga doktor mengatakan mungkin kandungan saya akan gugur. Alhamdulillah, kini kandungan saya sihat walaupun beberapa kali mengalami alahan teruk,” kata anak kelahiran Jasin, Melaka itu.

Dalam sidang kelima itu, Nur Attiya antara 1,081 graduan yang menerima ijazah pada hari terakhir konvokesyen yang disampaikan Ahli Lembaga Gabenor UIAM, Datuk Seri Syed Hussein Abd Kadir.

Disiarkan pada: November 14, 2017 @ 5:48am
d