mutakhir

Sakit reda dengar azan

Oleh Amrullah Abdul Karim

Kuala Kubu Bharu: “Hanya kesakitan yang saya rasai sepanjang berada di puncak Bukit Kutu. Ia hanya reda seketika apabila terdengar azan yang tidak tahu dari mana datangnya,” kata Mohammad Anuar Mohammad Ismail Kil, 24, yang cedera ketika mendaki Bukit Kutu di sini, kelmarin.

Penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam itu mengalami kekejangan otot akibat keletihan dan kesejukan sehingga membataskan pergerakannya.

Anuar bersama tiga rakannya, Mohd Syahrun Mahmud, 25; Muhamad Syahril Mazwan Mazlam, 24, dan Nurul Harizah Salleh, 25, mendaki Bukit Kutu jam 9 pagi kelmarin sebelum dia mula mengalami kekejangan otot ketika tiba di Batu Tedung selepas lebih empat jam pendakian.

Anuar berkata, keadaan itu memaksa dia berehat seketika sebelum meminta rakannya naik ke puncak terlebih dulu dan membiarkannya bersendirian.

“Pada awalnya (Muhamad) Syahril bersama saya tetapi saya minta dia naik dulu kerana saya mahu berehat sekejap.

“Saya terlelap seketika sebelum meneruskan pendakian dan berselisih dengan beberapa pendaki tetapi peliknya tidak terserempak dengan rakan-rakan saya itu. Saya teruskan mendaki sehingga ke puncak bukit namun tidak menemui sesiapa,” katanya selepas dibawa turun ke pos kawalan bomba di Kampung Pertak pagi semalam.

Menurutnya, dia menjerit memanggil rakannya namun tidak berjawab sebelum membuat keputusan menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan.

“Cuaca hujan memburukkan lagi keadaannya menyebabkan saya terpaksa berlindung di celah batu.

“Pasukan penyelamat tiba jam 9.45 malam kelmarin dan terus memberikan rawatan awal,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Penguasa Bomba Kamil Hamadan berkata, pihaknya mengambil kira faktor kesihatan dan keselamatan mangsa sebelum membawanya turun.

“Mangsa diberi rawatan awal dan hanya dibawa turun pagi ini (semalam) dan tiba di pos kawalan bomba jam 10.40 pagi semalam.

“Mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk rawatan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: November 14, 2017 @ 5:50am
d