mutakhir

'Dulu aku pun pernah susah'

Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Pengalaman sendiri yang pernah hidup susah dan terpaksa mengikat perut akibat terputus bekalan beras menjadi pendorong kepada seorang wanita untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik dan miskin.

Wanita terbabit, Nur Farhana Abdul Manan, 33, berkata, segala-galanya bermula selepas terserempak dengan sebuah keluarga yang mendiami sebuah pondok kecil di pusat bandar Puchong, Selangor dalam keadaan sangat daif tanpa bekalan air dan elektrik, 10 tahun lalu.

Katanya, sebelum ini dia hanya melakukan kerja sukarelawan dan membantu orang susah sekali sekala saja, namun selepas berjumpa dengan wanita yang mempunyai 10 anak yang masih kecil ketika itu mendorongnya terbabit secara lebih serius.

Niatnya cuma satu kerana Allah Taala untuk membantu orang susah dan miskin tanpa dibayar oleh mana-mana pihak dan dilakukan secara sukarela.

“Ketika bertugas membuat liputan melawat orang susah, saya dapati ada ramai keluarga yang tidak dapat makan dengan sempurna iaitu tidak mempunyai lauk dan menjadikan pucuk betik atau buah nangka sebagai lauk.

“Saya amat sedih melihat situasi ini, apatah lagi dalam keluarga itu mempunyai anak ramai. Saya sendiri anak yatim dan pernah merasai kesukaran, dari situ timbul niat saya untuk membantu golongan ini dengan lebih serius bermula dengan menghantar beras dan barang keperluan lain,” katanya yang bekerja sebagai wartawan.

Menurutnya, pada peringkat permulaan barang dibeli dengan gaji sendiri, namun lama kelamaan ada rakan yang turut berminat menyertainya untuk memberi sumbangan secara sukarela.

Malah, keretanya juga umpama kedai runcit yang sentiasa mempunyai set makanan keperluan seperti beras, minyak, gula, tepung, susu, sardin, bihun dan minuman bercoklat.

Nur Farhana berkata, jika dapat maklumat ada orang susah yang memerlukan bekalan makanan dia terus menghantarnya.

Dia turut mengakui merasai hidupnya lebih tenang selepas terbabit dalam aktiviti seumpama ini, malah sering dibuka jalan oleh Allah untuk membantu golongan susah yang kebanyakannya ditemui tanpa disengajakan.

“Saya seolah-olah mempunyai naluri jika pergi ke satu-satu kawasan yang mempunyai orang susah. Seolah-olah Allah mendorong saya ke tempat berkenaan dan akhirnya bertemu dengan mereka yang memerlukan,” katanya.

Menurutnya, selepas 10 tahun bergerak secara solo atau dibantu rakan-rakan, dia akhirnya menubuhkan pasukan sukarelawan dinamakan Team Marhaen Puchong (Team Marhaen) pada 9 Jun lalu dianggotai enam individu, termasuk dirinya.

Mereka ialah Noorita Sahriman, 32, Salmi Ahmad Mokhtar, 44, Talhat Kasali, 54, Siti Zuraidah Bakar, 35, dan Zaihasri Jaafar, 37.

Semuanya bukan calang-calang orang, sebaliknya ada yang memegang ijazah doktor falsafah (PhD), pemilik restoran dan butik, serta suri rumah dan penyelia di syarikat keselamatan.

“Masing-masing ada peranan sendiri termasuk bertindak sebagai ejen untuk mencari orang susah. Apabila ada penyumbang yang memberikan beras, kita akan memberikan kupon untuk mengenal pasti penerima, selain memastikan bantuan sampai kepada yang berhak.

“Agihan dilakukan secara sukarela, tidak pernah dibayar mana-mana pihak dan semuanya mengguna wang dan tenaga sendiri, kecuali sumbangan barang keperluan ada yang ditaja pihak tertentu atau sumbangan orang ramai,” katanya.

Katanya, jika penerima sumbangan didapati mempunyai masalah lebih rumit seperti anak sakit atau memerlukan kos pembedahan, rawatan atau memerlukan bantuan zakat pihaknya akan menyalurkan maklumat kepada pihak berkenaan.

“Kami juga menganjurkan Pasar Marhaen, biasanya kita menerima sumbangan pakaian, peralatan, barang elektrik terpakai dan sebagainya, kawan banyak bagi memberi galakan dan menyumbang pakaian mereka.

“Biasanya kita akan maklumkan barang ini akan dilelong dalam aktiviti amal, kita jual pakaian dengan harga 50 sen atau RM1, manakala barang elektrik dijual antara harga RM10 hingga RM50, tetapi jika mereka yang betul-betul susah kita akan beri secara percuma,” katanya.

Ditanya mengapa barangan ini dijual, Nur Farhana berkata, ia bertujuan memastikan mereka menghargai barangan itu walaupun mereka susah, dan apabila membeli ini bermakna mereka turut menyumbang untuk membeli beras hasil daripada jualan di Pasar Marhaen.

“Hasil jualan di Pasar Marhaen, kami akan membeli beras dan barangan keperluan sebelum dihantar ke rumah yang kita sudah ada data alamat tempat tinggal mereka setiap bulan mengikut jumlah dana yang ada.

“Kami tiada dana besar kerana kerja ini dilakukan hanya secara sukarelawan, jika ada lebihan dana kami ada cadangan untuk wujudkan satu tempat bagi memudahkan mereka yang terputus bekalan makanan menemui kami.

“Bukan sepanjang masa kami dapat sumbangan, tetapi saya ada gaji setiap bulan, saya seronok membuat kerja ini kerana ia beri kepuasan dan ketenangan yang tidak dapat dibayar dengan wang ringgit,” katanya.

Disiarkan pada: November 14, 2017 @ 6:00am
d