mutakhir

Biasanya surut dalam 3 jam

Oleh Ramli Ibrahim

JAMBATAN Kampung Kerinting yang menjadi laluan penduduk ke bandar Gua Musang ditutup kepada lalu-lintas selepas ditenggelami air Sungai Ketil, sejak kira-kira 5 pagi ini.

Limpahan air sungai berlaku susulan hujan berterusan melebihi lima jam, malam tadi.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Gua Musang, Mohd Yusalmi Yusof, berkata penduduk masih boleh menggunakan laluan lain untuk ke bandar.

“Jambatan ini digunakan penduduk dan menjadi jalan pintas mereka yang dari Kuala Betis untuk ke bandar. Sungai Galas juga berada pada paras amaran,” katanya.

Selain Jambatan Kampung Kerinting, jambatan sementara Kampung Pulau Setelu turut menerima nasib sama disebabkan limpahan air Sungai Nenggiri.

“Cuaca cerah pagi ini dijangka cepatkan proses air sungai surut,” katanya.

Penduduk kampung itu, Harun Majid, 54, berkata, dia menyedari jambatan itu tenggelam apabila hendak ke bandar lama.

Berikutan itu, katanya, dia terpaksa melalui laluan utama yang lebih jauh dari Kampung Kerinting.

“Jika hujan berterusan, memang Sungai Ketil mudah naik. Namun biasanya akan surut dalam tiga jam,” katanya.

Disiarkan pada: November 14, 2017 @ 10:10am
d