mutakhir

Seksa tenggiling dalam guni

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

LELAKI warga Thailand didenda RM115,000 oleh Mahkamah Sesyen, hari ini selepas disabitkan lima pertuduhan menyimpan 55 tenggiling dan lima karung kulit tenggiling tanpa permit khas, minggu lalu.

Hakim Hakim Azman Abu Hassan membuat keputusan itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Noppadol, 47, dan mensabitkannya dengan semua pertuduhan.

Beliau turut menetapkan tertuduh, dipenjara tambahan empat tahun enam bulan jika gagal membayar denda itu namun lelaki itu membayar denda berkenaan.

Bagi pertuduhan pertama, Noppadol didakwa menyimpan 36 tenggiling jantan mengikut Seksyen 68 (2)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (APHL) 2010 (Akta 716), sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 50,000 dan maksimum 100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun.

Pertuduhan kedua pula menyimpan sembilan tenggiling tidak matang tanpa permit khas mengikut Seksyen 69 (1) APHL 2010 (Akta 716), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan ketiga mengikut Seksyen 68 (1) (a) akta sama, Noppadol didakwa menyimpan 10 tenggiling betina juga tanpa permit khas, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Pertuduhan keempat, dia didakwa sengaja menzalimi 55 tenggiling hidup dengan cara mengurung dan mengikat dalam guni plastik yang menyebabkan penderitaan dan ketidakselesaan terhadap haiwan terbabit, mengikut Seksyen 86(1) (c) akta sama.

Seksyen ini memperuntukkan hukuman denda minimum RM5,000 dan maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Pertuduhan kelima, mengikut Seksyen 68 (1) (b) akta sama, dia dituduh menyimpan lima guni sisik tenggiling seberat 39.3 kilogram, sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Semua tenggiling dan sisik tenggiling itu disimpan di dalam bonet kereta Toyota Altis bernombor pendaftaran Thailand di Kilometer 1.3 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara Bukit Kayu Hitam pada 7 November lalu, jam 2.30 petang.

Hakim menetapkan tertuduh didenda RM50,000 atau penjara satu setengah tahun jika gagal membayar denda bagi pertuduhan pertama; pertuduhan kedua, denda RM20,000 atau penjara setahun; ketiga denda RM30,000 atau penjara satu setengah tahun; keempat, denda RM5,000 atau enam bulan penjara dan kelima denda RM10,000 atau penjara setahun.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri Mohamad Rafaee Abdul Hamid manakala peguam Nasrul Omar Che Mansor mewakili tertuduh.

Terdahulu peguam memohon anak guamnya tidak dipenjarakan kerana dia mempunyai tanggungan empat anak serta penanggung tunggal keluargan.

Katanya, anak guamnya hanya pengangkut dan tidak faham sebab dan akibat kesalahan dilakukan kerana tawaran upah tinggi.

Begitupun pendakwaan memohon hukuman berat dikenakan atas pelbagai faktor termasuk ancaman kepupusan tenggiling.

Katanya, selain tenggiling hidup yang dikurung dalam plastik dan diletak di dalam bonet, rampasan sisik jelas menunjukkan haiwan dilindungi sepenuhnya oleh undang-undang negara ini daripada dibunuh.

Disiarkan pada: November 14, 2017 @ 4:48pm
d