mutakhir

Hulur bantuan cara Pekida Wilayah Persekutuan

Oleh Nabihah Kamal

PEKIDA Wilayah Persekutuan tidak ketinggalan membantu mangsa banjir di Pulau Pinang dengan mengumpulkan barangan keperluan sumbangan daripada ahli dan orang ramai.

Dalam tempoh lima hari sejak Jumaat lalu hingga hari ini, sebanyak lapan tan barangan keperluan seperti beras, gula, tepung, sardin, lampin pakai buang dan susu.

Yang Dipertua PEKIDA Wilayah Persekutuan Azkhalim Suradi, 45, berkata, kutipan akan diteruskan sehingga Jumaat ini sebelum dihantar ke Pulau Pinang pada hari terakhir kutipan.

“Kami menyediakan pusat pengumpulan barang keperluan mangsa banjir di Petaling Street yang dibuka 24 jam.

“Alhamdulillah sambutan menggalakkan bukan saja daripada ahli malah orang ramai turut menyumbang termasuk pelancong yang berkunjung ke Petaling Street,” katanya.

 

Menurutnya, pusat pengumpulan berkenaan akan dibuka sehingga Jumaat ini sebelum lebih 40 ahli akan ke Pulau Pinang bagi membantu mengagihkan barang serta membersihkan kawasan yang terjejas akibat banjir.

Katanya, selain barangan keperluan harian, ubat-ubatan serta peralatan memasak juga diperlukan bagi membantu mangsa banjir di Pulau Pinang.

“Ketika ini, barangan keperluan harian banyak diterima. Bagaimanapun, kami turut memerlukan ubat-ubatan dan peralatan memasak.

 

 “Diharap ada pihak yang sudi menyumbang ubat-ubatan dan peralatan memasak,” katanya. 

 

Disiarkan pada: November 14, 2017 @ 9:59pm
d