mutakhir

Agih bantuan selepas terima senarai nama

Oleh Mohd Nasif Badruddin

Kuala Lumpur: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) hanya akan mengagihkan bantuan wang ihsan kepada mangsa banjir di Pulau Pinang selepas menerima senarai nama mereka daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, bantuan lain seperti kit makanan permulaan, kit kebersihan, tilam dan bantal sudah pun diagihkan kepada mangsa banjir selain pemasangan penghadang di pusat pemindahan banjir.

Katanya, seramai 3,477 anggota agensi beruniform dan bukan beruniform turut menghulurkan pelbagai bentuk bantuan seperti perubatan, sokongan teknikal, kawalan keselamatan untuk memastikan kebajikan mangsa banjir berada pada tahap tinggi dan terjaga.

Menurutnya, NADMA berpuas hati dengan tindakan pantas dan efisien pasukannya dalam memberi bantuan menyelamat kepada semua mangsa banjir di Pulau Pinang.

“Pengurusan banjir pada kali ini dibuat dengan baik dan kita sudah bersiap siaga menghadapi banjir kali ini,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Terdahulu menjawab soalan asal Datuk Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) yang meminta penjelasan punca banjir besar berlaku di Pulau Pinang, baru-baru ini, walaupun terdapat elemen hujan lebat yang luar biasa dan fenomena air pasang di negeri itu, Shahidan berkata, pembangunan rancak selepas 2008 memusnahkan ekosistem dan ekologi di negeri itu.

Katanya, struktur seperti parit dan saliran tidak dinaik taraf seiring dengan pembangunan tidak dapat menampung kapasiti.

“Pengurusan kawasan tadahan hujan kerana pembangunan mengurangkan keupayaan tanah menyerap air.

“Dalam keadaan banjir baru-baru ini air turun bersama selut, airnya berwarna kuning. Inilah akibat pemotongan bukit,” katanya.

Disiarkan pada: November 15, 2017 @ 4:58am
d