mutakhir

TNB taja RM1.4 juta

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menaja RM1.4 juta untuk lima tahun bagi meningkatkan kemudahan penginapan dormitori waris pesakit di Institut Jantung Negara (IJN).

Projek yang bermula tahun ini dan berakhir 2021 membabitkan perbelanjaan RM386,192 kerja menaik taraf kemudahan sedia ada serta RM1 juta untuk kos operasi dan penyelenggaraan tempoh lima tahun atau bersamaan RM200,000 setahun yang diuruskan Yayasan IJN.

Ahli Lembaga Pengarah TNB Datuk A Sakhtivel berkata, inisiatif itu adalah sebagai memenuhi tanggungjawab korporat (CSR) TNB sekali gus membolehkan ahli keluarga serta waris yang menjaga pesakit di IJN dapat tinggal sementara dalam keadaan selesa dan selamat.

“Kemudahan infrastruktur yang ditambah baik termasuk meningkatkan jumlah bilik penginapan, menambah katil dua tingkat, penambahan unit kabinet, bilik pancuran mandi, kubikel tandas, menyediakan lantai vinyl, kerusi, meja, langsir, tilam serta pendingin hawa baru.

“Selain itu, bilik penginapan juga diubahsuai untuk pilihan katil seorang, katil bertingkat dan bilik keluarga bagi memberi keselesaan kepada waris yang berkeluarga termasuk membawa anak kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis Better Brighter Dormitory IJN Foundation-Tenaga Nasional di IJN sebelum menyerahkan replika cek tajaan kepada Pengerusi Yayasan IJN Toh Puan Dr Aishah Ong.

Sementara itu, Dr Aishah berkata, selepas dinaiktaraf dormitori IJN kini boleh menampung sehingga 56 penghuni pada satu masa berbanding 25 penghuni sebelum ini.

“Alhamdulillah, selepas perjanjian lima tahun pembiayaan oleh Public Bank Berhad tamat, TNB pula bersetuju bekerjasama dengan kami di Yayasan IJN,” katanya.

Bagi penghuni dormitori yang ditemui Harian Metro pula menyifatkan dormitori itu sangat membantu terutama menjimatkan kos penginapan sepanjang menjaga ahli keluarga yang dirawat di IJN.

Pembantu operasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Wah, Kuala Lipis, R Parimaladevi, 33, berkata dia lega dapat duduk di dormitori itu ketika menjaga ibunya M Vimaladevi, 56, yang perlu dibedah akibat kebocoran injap jantung.

“Saya dari Ladang Selborn di Kuala Lipis, perjalanan kira-kira empat jam untuk ke IJN. Sekiranya tiada dormitori ini pastinya kena menyewa hotel yang tentunya mahal,” katanya.

Pensyarah Politeknik Sultan Idris Shah Sabak Bernam, Mohd Azmi Mh Busra, 37, pula berkata dormitori untuk keluarga adalah sangat selesa menyebabkan dia serta isteri Siti Arinah Sanat, 35, boleh membawa dua anak mereka iaitu Nur Dhia Syarafana, 4, dan Muhammad Ariq Ulwan, 2, tinggal bersama.

Mereka bergilir-gilir menjaga ayah Siti Sarinah iaitu Sanat Abd Rahman, 62, yang dikejarkan ke IJN dari Hospital Batu Pahat, Johor sejak Ahad minggu lalu.

“Jimat masa, jimat wang. Mana nak cari hotel atau penginapan paling dekat IJN dengan harga RM50 untuk bilik keluarga dan RM10 bagi dorm,” katanya.

Disiarkan pada: November 15, 2017 @ 5:14am
d