mutakhir

3,000 peneroka setia dapat insentif

Oleh Idris Musa

Kuala Lumpur: Kira-kira 3,000 peneroka di seluruh negara yang tidak langsung berhutang dengan FELDA turut menerima insentif RM5,000 sebagai anugerah dan pengiktirafan kepada mereka.

Pengerusi FELDA Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, insentif kepada peneroka tidak berhutang itu tetapi tetap bersama FELDA itu adalah julung kali diperkenalkan.

“Walaupun mereka tidak berhutang, mereka dapat juga ganjaran. Disember ini kita buat (bayaran).

“Mereka tidak berhutang langsung. Ia sebagai anugerah dan pengiktirafan kepada mereka yang tidak berhutang. Mereka dapat insentif diberikan kepada mereka yang berhutang,” katanya, di sini, semalam.

Insentif RM5,000 itu antara enam insentif baru bagi peneroka yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada sambutan Hari Peneroka FELDA Peringkat Kebangsaan 2017 di Putrajaya, Julai lalu.

Shahrir bersama Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menjayakan Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang dihadiri lebih 200 belia dan generasi baru peneroka di Menara FELDA.

Shahrir melontarkan gagasan dan idea termasuk program perintis FELDA 2.0 di Felda Lurah Bilut di Bentong, Pahang yang bakal dilancarkan Perdana Menteri Januari tahun depan.

Disiarkan pada: November 15, 2017 @ 5:18am
d