mutakhir

Kumpul dana bantu Rohingya [METROTV]

Oleh Mohd Wahyuddin Jamil Khair

Kuala Lumpur: Pusat gedung tekstil terbesar negara, Jakel Trading Sdn Bhd (Jakel) buat julung kalinya menganjurkan aktiviti berbentuk gaya hidup sihat di samping mengumpul dana bagi etnik Rohingya.

Aktiviti Jakel Charity Run For Rohingya yang akan diadakan pada 10 Disember ini salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di samping beramal.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, aktiviti seperti itu mampu dijadikan platfom untuk menunjukkan rakyat di negara ini prihatin terhadap isu dari negara luar.

“Ia tanda keprihatinan rakyat di negara ini membantu golongan yang ditindas seperti etnik Rohingya.

“Aktiviti ini secara tidak langsung memberi peluang kepada rakyat untuk beriadah sambil beramal,” katanya yang ditemui pada sidang media di Jakel Mall, di sini, semalam.

Katanya, aktiviti dengan tujuan amal sepenuhnya itu menyasarkan kutipan RM700,000 untuk disumbangkan kepada etnik Rohingya di Bangladesh.

“Kami menganggarkan 7,000 peserta akan mengambil bahagian dalam aktiviti ini yang mampu mengumpul sumbangan RM400,000. Jakel akan menyumbangkan RM200,000 manakala RM100,000 menerusi pihak yang terbabit dalam program ini,” katanya.

Disiarkan pada: November 15, 2017 @ 5:32am
d