mutakhir

Baru beberapa bulan menyewa

Oleh HM Digital

Kulai: Ibu tunggal berusia 39 tahun yang dijatuhi hukuman penjara 75 tahun oleh Mahkamah Sesyen, Johor Bahru, kelmarin, akibat melacurkan dua anaknya didakwa baru beberapa bulan menyewa rumah kedai di Jalan Bintang, Taman Bintang, Senai, di sini.

Pekerja sebuah bengkel yang enggan dikenali berkata, dia melihat wanita itu sering menghantar anak perempuannya pergi dan pulang ke sekolah yang terletak berhampiran kediaman mereka.

“Biasanya wanita itu menemani anak perempuannya ke sekolah dan menunggu mereka pulang pada tengah hari,” katanya ketika ditemui di taman perumahan itu, semalam.

Menurutnya, dia tidak mengetahui latar belakang wanita terbabit yang dilihat tidak mesra dengan penduduk setempat.

“Kami hanya tahu dia duduk di situ beberapa bulan lalu dan menyewa bilik di tingkat dua bangunan berkenaan yang turut mempunyai beberapa bilik sewa yang didiami warga asing,” katanya.

Kelmarin, wanita terbabit yang didapati bersalah melacurkan dua anak perempuannya berusia 10 dan 13 tahun kepada lelaki warga asing dihukum penjara 75 tahun oleh Mahkamah Sesyen, Johor Bahru.

Hakim Kamarudin Kamsun menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap 10 pertuduhan melakukan perbuatan terbabit.

Pendakwaan bagi semua perbuatan itu dibuat mengikut Seksyen 31(1)(b) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 16 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, guru sekolah kepada remaja berusia 13 tahun itu menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp yang menyatakan mangsa dijual ibunya kepada lelaki warga asing dan oleh kerana mangsa tidak hadir ke sekolah selama 18 hari, pihak sekolah berasa curiga sebelum memaklumkan kepada polis.

Polis kemudian membuat tangkapan terhadap tertuduh di sebuah rumah di Senai pada 25 Oktober lalu selepas wanita yang tidak bekerja itu memberitahu pernah beberapa kali membawa dua anak perempuannya ke hotel bajet untuk dilacurkan kepada dua lelaki warga Bangladesh.

Disiarkan pada: November 15, 2017 @ 6:07am
d