mutakhir

SMK Paka bangunkan aplikasi 'Acu Paka'

Oleh Rosli Ilham

SEKOLAH Menengah Kebangsaan SMK Paka berjanji memberi tentangan sengit pada pertandingan akhir Petronas All About Youth (PAYY) peringkat kebangsaan yang akan berlangsung di Kuala Lumpur esok.

Ketua Pasukan, Nur Aisya Abdul Razak berkata, pasukannya yang diberi nama Sparkling S’Paka yang disertai 20 pelajar bersiap sedia memberi tentangan sengit kepada pasukan lain yang terdiri daripada sekolah di kawasan bandar.

Katanya, projek yang dibawakan sekolahnya dikenali sebagai ‘Acu Paka’ yang bermaksud cuba pakai dalam loghat Terengganu itu adalah sebuah aplikasi Andriod yang menyediakan had pencarian dan perkongsian maklumat bagi memudahkan urusan harian masyarakat stempat di kawasan Paka.

“Aplikasi mudah alih ini dibina hasil pemerhatian kami terhadap gaya hidup masyarakat Paka yang memerlukan akses maklumat setempat yang mudah dan cepat.

“Kami mengambil keputusan menyediakan had setempat melalui penyaluran maklumat komuniti yang berguna kepada masyarakat,” katanya.

Menurutnya, selain menyediakan ruang untuk penduduk berinteraksi, aplikasi mudah alih itu menyediakan rangkaian data termasuk maklumat berguna seperti nombor telefon agensi kerajaan dan swasta serta pihak berkuasa tempatan, seperti polis, majlis perbandaran, bomba dan sebagainya yang menjadi penghubung diantara komuniti.

“Penduduk dapat berhubung dengan agensi terbabit sekiranya berlaku kecemasan, termasuk membuat aduan dan bertanya berhubung maklum balas mengenai aduan mereka.

“Acu Paka juga turut menyediakan platform kepada peniaga tempatan untuk mempromosikan produk dan menawarkan perkhidmatan masing-masing kepada penduduk setempat,” katanya.

Katanya, sehingga hari ini, ramai peniaga telah mendaftar perniagaan mereka di atas talian secara percuma di aplikasi telefon pintar ini termasuk tempahan makanan, potong rumput, menjahit, rumah sewa, produk kecantikan dan sebagainya.

Aplikasi ini boleh dimuat turun melalui Google Play Store telahpun mencecah 500 muat turun seiring dengan arus pemodenan, kemudahan telefon pintar ini membawa banyak manfaat kepada seluruh masyarakat.

Nur Aisya berkata, selain SMK Paka, sekolah lain yang layak bertanding pada peringkat akhir PAYY itu ialah, SMK Lokman Hakim Johor, SMK Tinggi Melaka, SMK Sindumin Sabah dan SMK Lutong Sarawak.

"Dengan semangat tunjuk agar dari guru pembimbing dan kakitangan Petronas di Terengganu, kami bersemangat untuk membawa Terengganu sekali lagi dinobatkan juara. Kami akan mengulangi kejayaan tahun 2014, di mana abang dan kakak kami dari SMK Tengku Intan Zaharah dinobatkan juara dan mengondol hadiah bernilai RM50,000 ," katanya. 

Disiarkan pada: November 15, 2017 @ 11:25am
d