mutakhir

[UPDATE] Namaku Muhammad Al Ameen

Oleh BERNAMA

BAYI lelaki yang ditemui masih bertali pusat di pondok bas di Lebu, Bentong, Ahad lalu dinamakan Muhammad Al Ameen.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, bayi seberat 2.8 kilogram itu dilaporkan berkeadaan sihat.

“Bagaimanapun Al Ameen masih di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk pemantauan doktor dan akanditempatkan di institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebaik dibenarkan keluar," katanya ketika dihubungi di Kuantan, hari ini.

Ahad lalu, penduduk Kampung RTP Lebu menemui bayi malang itu dalam keadaan kesejukan dan hanya berbalut kain batik yang dibasahi darah, dipercayai ditinggalkan beberapa jam sebelum ditemui pada 7 pagi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong Seputi Superintendan Zainudin Abdul Hamid berkata, kes di siasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat membuang bayiitu.

Sementara itu, Pengarah JKM negeri Zulkhairi Zainal Abidin berkata, jabatannya menerima banyak pertanyaan daripada orang ramai yang berhasrat mengambil bayi itu sebagai anak angkat, termasuk daripada mereka di luar Pahang.

“Bagaimanapun kami memaklumkan, bahawa bayi itu berada bawah pemantauan doktor dan ibu bapa kandungnya masih mempunyai masa untuk menuntut. Jika tiada, baharulah JKM akan membuka proses pengangkatan,” katanya sambil menambah mereka yang berhasrat menjaga bayi itu perlu melalui prosedur yang ditetapkan JKM.

Berita berkaitan:

Empat jam kesejukan di pondok bas

Disiarkan pada: November 15, 2017 @ 2:34pm
d