mutakhir

Cemburu buta punya hal

Oleh Ibrahim Isa

KONTRAKTOR lelaki yang memukul dan membotakkan kepala isterinya, Isnin lalu, ditahan polis di rumahnya di Taman Kluang Setia, Kluang, tengah malam tadi.

Suspek, 32, yang juga penagih dadah itu dikatakan memukul isterinya selama empat jam kerana cemburu dan menyangka wanita itu mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, perbuatan suspek terbongkar apabila isterinya menghubungi bapanya yang juga pemandu teksi di Petaling Jaya.

"Ketika menghubungi bapanya pada 8.30 malam, Isnin lalu, mangsa menyatakan mahu pulang ke rumah keluarganya dan hanya menangis tanpa menceritakan kejadian sebenar.

"Bapa mangsa yang hairan dengan apa yang berlaku dikatakan bimbangkan keselamatan anaknya sebelum menerima gambar mangsa yang dihantar menerusi WhatsApp oleh besannya pada 8.30 pagi, keesokan paginya.

"Bimbangkan keselamatan anaknya itu, lelaki berkenaan cuba menghubungi telefon bimbit mangsa namun tidak dapat dihubungi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, bapanya membuat laporan polis pada 12.55 tengah hari semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Katanya, susulan laporan berkenaan sepasukan polis menahan suspek di rumahnya pada 12.30 tengah malam tadi.

"Hasil siasatan awal, kami dapati mangsa mula dipukul menggunakan tangan di muka dan kepala menyebabkannya cuba menghalang menggunakan kedua-dua tangan bermula 4 petang di parkir berhampiran Bangunan Majlis Perbandaran Kluang (MPK) Isnin lalu.

"Mangsa dibawa pulang dan dipukul serta rambutnya dicukur sehingga botak di rumahnya hingga 8 malam.

"Mangsa yang lebam di muka, kepala dan kedua tangannya diselamatkan ibu mentuanya yang membawanya ke rumah lain dan memujuk mangsa membuat laporan polis serta mendapatkan rawatan di hospital namun mangsa enggan.

"Hasil siasatan, kami dapati kejadian berpunca kerana suspek mengesyaki mangsa menjalin hubungan sulit dengan lelaki lain," katanya.

Menurutnya, Mahkamah Majistret Kluang membenarkan suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 18 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

Disiarkan pada: November 15, 2017 @ 4:13pm
d